Khamis, 4 Ogos 2011

Bekas orang kuat Ku Li tidak mahu sertai Amanah

Ahli Parlimen Johor Baru, Datuk Shahrir Samad berkata beliau tidak mahu menyertai Amanah.



PETALING JAYA: Beberapa bekas orang kuat Tengku Razaleigh Hamzah menyatakan mereka tidak berminat menyertai Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) sebuah NGO yang tubuhkan minggu lalu.

Bekas Naib Presiden Umno itu menubuhkan Amanah yang beliau sendiri sebagai presidennya untuk membawa suara rakyat menuntut kebenaran dan keadilan dalam menangani masalah rasuah, kronisme dan perpaduan antara kaum di Malaysia.

Ahli Parlimen Johor Baru, Datuk Shahrir Samad berkata beliau tidak mahu menyertai Amanah.

“Saya tidak minat untuk masuk Perkasa,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Ketika ditanya adakah Amanah akan berjaya, Shahrir berkata soalan itu kena tanya dengan orang Amanah.

Shahrir merupakan calon bebas Parlimen Johor Baru pada pilihan raya kecil 1988 yang disokong Tengku Razaleigh, yang ketika itu Presiden Semangat 46.

Sementara itu, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, walaupun beliau menyokong Amanah tetapi beliau akan memikirkan terlebih dahulu sama ada mahu menyertai Amanah atau tidak.

Mengulas mengenai penubuhan Amanah, bekas Ketua Penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh berkata, Amanah boleh bertahan lama jika ia berpegang kepada tujuan awal penubuhannya.

“Kalau platform untuk menjadikan politik negara lebih matang, Amanah akan mampu pergi jauh dan diterima. Tetapi jika hanya penubuhannya hanya untuk reaksi politik dan lebih kepada hendak cabar mencabar saya tidak fikir ia akan bertahan lama,” katanya.

Hashim menegaskan sehingga ini tidak ada parti politik dan NGO yang boleh dipercayai dan berpegang teguh kepada prinsip dan janji- janjinya.

“Jadi menyertai pertubuhan seperti ini hanya membuang masa,” katanya.

Tiada ulasan: