Rabu, 3 Ogos 2011

Badar serah memo bantah Lynas kepada PM

Helmi Ibrahim

PUTRAJAYA: Badan Bertindak Anti Rare Earth Refinery (Badar) telah melengkapkan proses mewujudkan rantaian komunikasi secara rasmi dengan agensi kerajaan berhubung bantahan rakyat terhadap pembinaan dan pengoperasian loji Lynas di Gebeng dengan mengunjungi Perdana Menteri di Putrajaya pada 29 Julai 2011.

(Rombongan Badar bergambar di depan bangunan JPM di Putrajaya selepas menyerahkan memorandum)

Badar dengan di wakili oleh Pengarahnya Andansura bin Rabu, Haji Zulkefly Omar selaku Penasihat Badar serta lima AJKnya bersama-sama dengan 40 orang penduduk Balok dan sekitarnya hadir seawal pagi di perkarangan Pejabat Perdana Menteri dengan hasrat untuk menyampaikan memorandum bantahan terus kepada Perdana Menteri.

Dalam sidang medianya selepas pertemuan tersebut, Haji Zulkefly memaklumkan bahawa Badar tetap bertegas dengan pendiriannya iaitu menentang sekeras-kerasnya pembinaan dan pengoperasian loji Lynas melalui memorandumnya kepada wakil Perdana Menteri dan berharap agar suara hati penduduk ini sampai ke pengetahuan beliau dan mendapat perhatian sewajarnya.

“Walaupun kita tidak dapat berjumpa secara bersemuka dengan Perdana Menteri pada hari ini tetapi kita tetap berlapang dada dan maklum akan kesibukan beliau dalam menangani pelbagai masalah yang bertimpa akhir-akhir ini. Namun begitu kita mengharapkan beliau tidak terlepas pandang dalam isu yang kronik ini sebelum ianya membarah dan menimpa rakyat dan negara tercinta ini.

“Kita telah menemui semua pihak yang bertanggungjawab dalam isu ini bagi memaklumkan dan menyerahkan Memorandum Bantahan kita seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), MITI, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Menteri Besar Pahang dan akhirnya kepada Perdana Menteri sendiri selaku ketua kerajaan. Kita memahami bidang kuasa setiap jabatan baik di peringkat negeri mahupun persekutuan dan oleh sebab itulah kita telah turun untuk bertemu dengan semua pihak yang di nyatakan tadi,” jelas Haji Zulkefly.

Mereka berharap suatu tindakan yang konkrit dan pantas dapat di ambil oleh Perdana Menteri selaku rakyat Pahang sendiri yang mana daerah yang di wakili beliau tidak terlalu jauh dengan kawasan tapak loji kontroversi tersebut.

Seterusnya beliau menambah, respon yang di berikan oleh pihak Perdana Menteri amat jauh berbeza dengan sikap Menteri Besar Pahang yang mana beliau tetap menghantar wakil untuk bertemu Badar berbanding tindakan yang di tunjukkan sewaktu mereka mengunjungi pejabat MB Pahang tempohari.

Respon yang di berikan oleh pejabat MB Pahang ternyata jauh berbeza dengan slogan yang di war-warkan iaitu ‘rakyat di dahulukan’ dan sikap tidak bertanggungjawab ini seharusnya menyedarkan rakyat Pahang akan keperluan menilai semula teraju utama negeri mereka.

Beliau juga menasihatkan pegawai kerajaan agar bersikap professional dan berani untuk menerima kunjungan rakyat dan juga mendengar apa sahaja rungutan dan komen dari mereka.

Sebagai “stakeholder” rakyat berhak mendapat penjelasan dan berhak menuntut agar suara mereka di beri perhatian dan pertimbangan sewajarnya.

Tiada ulasan: