Allahyarham Haji Azizi Haji Abdullah bertubuh kecil tetapi mempunyai jiwa yang besar, pandangan yang tajam, kritikan yang pedas terhadap sesiapa yang makan cili terutamanya kepada pemerintah yang jelas tidak mahu melakukan kebaikan bahkan terus angkuh dengan kezaliman.
Walaupun namanya 'gah' dipesada seni sebagai novelis sebaris dengan Sasterawan Negara namun hidupnya tetap sederhana. Tidak mempunyai rumah mewah atau kenderaan mewah sekadar ala kadar untuk berurusan membantu rakyat yang cintakan kedamaian.
Setelah menamatkan perkhidmatan sebagai seorang pendidik beliau yang tidak jemu-jemu berkarya menabur bakti pula sebagai pengarang di Utusan Pengguna keluaran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang diterajui oleh Presidenya, SM Mohamad Idris.
Memang tidak dinafikan, novel bertajuk 'Seorang Tua Di Kaki Gunung' menaikan nama Allahyarham Azizi Haji Abdullah malahan mengangkat jiwa seninya ke tahap yang lebih matang apabila terus berkarya dengan menerapkan unsur nasihat.
Allahyarham Haji Azizi walaupun saya tidak mengenalinya secara dekat tetapi setiap kali bertemu di majlis ceramah politik sering bertanyakan macamana kerja dengan "Harakah' serta memberikan semangat kepada saya untuk terus bertahan di Harakah selama ini. Bukan itu kadang-kadang terkeluar juga ketidak puasan hatinya terhadap Harakah kerana tidak siar apa yang dihantar.
Memang jika hendak diukuran dari segi pendapatan di Harakah tidaklah setinggi mana tambahan lagi sebagai pemberita negeri tetapi kerana mahu mendaulatkan sinar Islam dan bersama kepimpinan yang sah menyanjung Islam saya terus kekal sehingga kini.
Sewaktu Pejabat Harakah beroperasi di No 6, Tingkat 2, Jalan Todak, Bandar Sunway, Seberang Jaya kerap juga terserempak denganya terutamanya sebelah petang kerana beliau sering juga bermalam di ruang hadapan iaitu bilik yang boleh diibaratkan rumah persinggahan tuan punya bangunan tiga tingkat yang Harakah menyewa.
Pemiliknya ialah 'Bos Petronas' iaitu Haji Sidek yang baik hati orangnya. Beliau sanggup memberikan Harakah menyewa dengan kadar Rm350.00 sahaja sebulan sedangkan harga pasaran boleh mencecah sehingga RM600.00 sebulan.
Tetapi, kerana mahukan Harakah bertapak di situ beliau sanggup melupakan nilaian wang ringgit asalkan pejabat berkenaan mesti dalam keadaan bersih terutamanya jalan ke pintu masuk dan tandas kerana baginya Islam itu mementingkan kebersihan.
Berbalik kepada cerita Allahyarham Azizi di situlah kadang-kadang dia tidur bermalam untuk mencari idea untuk novel beliau seterusnya kerana di rumah bukan tempat yang sesuai untuk berkarya.
Pernah Allahyarham Azizi berkata kepada saya dia tidak boleh mengarang dalam keadaan bising atau isteri suruh itu dan ini. Dia lebih tenang dan sanggup menyewa hotel semata-mata mengarang atau menghilangkan diri seketika untuk tujuan tersebut sebagaimana yang dilakukan terhadap novel 'Sanggtha'.
Mengikut ceritanya ketika melancarkan novel tersebut di Perbadanan Perpustakaan Negeri di Seberang Jaya beliau mendapat ilham semasa melalui satu jalan berdekatan Pekan Kulim iaitu sebuah rumah lama yang pernah diduduki oleh orang putih kemudianya pula diduduki keluarga India.
Kali terakhir saya bertemunya ialah ketika bersama Pengarang Harakah, Taufek Yahya turun ke Pulau Pinang untuk wawancara dengan Pesuruhjaya PAS Negeri, Datuk Saleh Man, Presiden CAP, SM Mohamad Idris serta pertemuan dengan Pengerusi Badan Bertindak Tanjung Tokong, Mohd Saleh Yahya di Masjid Negeri. (Taufek Yahya bergambar dengan Azizi di depan pejabat CAP)
Setelah mendapat talipon daripada Taufek saya terus menalipon Azizi kerana denganya senang berbicara walaupun kadang-kadang ayat yang diucapkan pedih bagi orang yang tidak biasa dengan gelagatnya.
Memang senang, sekali talipon sahaja beliau terus mendapatkan temujanji dengan bosnya. Setelah mengambil Taufek di Lapangan Terbang Bayan Lepas kami terus ke CAP bertemu SM Mohamad Idris diiringi bersama peguam Mohideen Kader, Setiausaha CAP serta Azizi sendiri.
Bukan itu sahaja setelah selesai berbincang seperti biasa SM Mohamad Idris menyuruh Azizi membawa kami makan tengahari di kedai Makan Ikan Sembilang berdekatan terowong Lebuhraya Jelutong.
Saya masih ingat lagi, dia kalut cari gulai ikan sembilang untuk dijamukan pada kami. Akhirnya gagal kerana ikan tersebut habis diambil orang. Maklumlah kedai berkenaan ramai pelanggan.
Sambil makan beliau bercerita sebenarnya doktor menasihatinya supaya jangan makan makanan yang berlemak tetapi apakah daya di sebabkan makanan sedap lazimnya nasihat doktor sekadar pengingatan.
Sejak pertemuan di pejabat CAP dan belanja makan saya sendiri tidak pernah bertemunya lagi cuma pada suatu hari saya mendapat panggilan daripada Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman bertanyakan saya tentang kesihatan Azizi yang dikatakan tenat di Hospital Besar Pulau Pinang.
Saya terus menghubungi talian talipon miliknya tetapi anak perempuanya yang angkat dan mengesahkan kesihatan ayahnya tidak stabil ekoran terasa sakit di bahagian dada ketika bersiap-siap ke tempat kerja.
Memandangkan kesihatanya makin serius beliau terus dimasukan ke wad dan selang beberapa minggu kemudian dia kembali pulih tetapi doktor melarang orang ramai melawat sebab bimbang dijangkiti kuman.
Saya teruskan buat berita ringkas mengatakan kesihatanya makin pulih walaupun tidak sempat bertemu bertanyakan sendiri.
Cuma pada hari Ahad lepas 21 Ogos 2011 sekali lagi Ahmad Lufti menghubungi saya bertanyakan adakah benar Azizi meninggal lantas saya pun menghubungi Zulkifli Yusuf yang bertugas di bahagian Luar Bandar di CAP dan beliau akhirnya mengesahkan berita berkenaan.
Ketika menghubungi Penolong Pengarang Utusan Pengguna, Saudara Mohd Ridzuan Mohamad beliau berkata kehilanganya amat dirasai kerana beliau seorang yang gigih bekerja untuk menyebarkan info kepada rakyat.
Menurutnya, Azizi banyak menghasilkan buku yang menceritakan masalah sosial untuk CAP seperti 'Jiwa Hamba, Luka Rakyat dan Mustaafin yang tertindas'. Semuanya menceritakan pergelutan masyarakat terhadap sosial yang melanda masa kini.
"Kehilangan Azizi satu kehilangan besar terhadap bidang penulisan dan kesasteraan. Buku terbarunya bertajuk Badai Cinta dan Anak Belantara' merupakan apisod terakhir penulisan yang diterjemahkan melalui penulisan kreatif, " jelasnya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan