Jumaat, 19 Ogos 2011

Asrama pusat pemulihan hangus

Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar

MOHD MUZNI menunjukkan naskhah al-Quran yang terbakar di pusat pemulihan dadah Kampung Kota Mengkuang.


MOHD MUZNI menunjukkan naskhah al-Quran yang terbakar di pusat pemulihan dadah Kampung Kota Mengkuang.

22 pelatih solat Tarawih ketika kepulan asap dikesan di ruang tengah


JITRA: Seramai 22 penghuni pusat pemulihan dadah yang baru selesai menunaikan solat tarawih terkejut mendapati asrama kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Kota Mengkuang, Wang Tepus, di sini, malam kelmarin.

Pengurus Pusat Pemulihan Cahaya Petunjuk, Mohd Muzni Mohd Noor, 53, berkata ketika kejadian beliau bersama 22 pelatih pusat itu baru selesai solat Tarawih di surau bersebelahan bangunan asrama berkenaan.

Saya bersyukur 22 penghuni asrama yang berusia antara 20 hingga 62 tahun selamat dan hanya barang keperluan mereka yang hangus. - Mohd Muzni Mohd Noor, Pengurus Pusat Pemulihan Cahaya Petunjuk

Namun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian yang berlaku pada jam 10 malam itu.

"Selesai Tarawih, kami semua hendak berzikir, mujur seorang daripada penghuni yang mahu ke tandas melihat kepulan dan api di ruang tengah bangunan dua tingkat itu.

"Jeritannya menyebabkan kami semua bangkit untuk melihat apa yang berlaku. Justeru, saya mengarahkan semua pelatih yang berada di luar surau menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

"Saya bersyukur kerana 22 penghuni asrama yang berusia antara 20 hingga 62 tahun selamat dan hanya barang keperluan mereka yang hangus dalam kebakaran terbabit," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Difahamkan, pusat berkenaan diwujudkan 12 tahun lalu bagi membantu memulihkan penagih dadah serta pesakit mental di bawah kelolaan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Mohd Muzni berkata, bangunan dua tingkat itu yang menempatkan ruang pejabat, asrama untuk empat penghuni serta ruang dapur musnah dalam kebakaran itu.

Katanya, banyak dokumen penting termasuk biodata pelatih yang disimpan dalam pejabat musnah sama sekali kerana mereka tidak sempat untuk menyelamatkan harta benda kerana api marak dengan cepat.

"Buat masa ini sebahagian pelatih yang mendiami bangunan asrama itu ditempatkan di asrama berhampiran buat sementara waktu. Kebanyakan penghuni asrama itu tinggal sehelai sepinggang kerana kebakaran berlaku secara tiba-tiba,” katanya sambil menambah kerugian dianggarkan mencecah RM100,000.

Sementara itu, Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Mohd Fazli Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 10.05 malam.

"Sebaik saja menerima maklumat, seramai lima anggota terus bergegas ke tempat kejadian dan kami mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengawal kebakaran berkenaan,” katanya.

Tiada ulasan: