Khamis, 16 Jun 2011

Ustaz Ghani : Utusan Pandang Rendah Kaedah Pengadilan Dalam Islam

TVS NEWS



SHAH ALAM : Karikatur berjudul “Kekeliruan Kes Rogol” yang disiarkan Utusan Malaysia semalam merupakan sebuah karya yang merendahkan martabat keadilan dalam agama Islam, kata Pengerusi Sekretariat Ulama Asia, Ustaz Ghani Shamsuddin.

Menurut Ustaz Ghani, Islam merupakan sebuah agama yang menitikberatkan soal keadilan kepada umatnya dan kaedah-kaedah yang digunapakai tidak ada tolok bandingnya serta tidak harus menjadi pertikaian mana-mana pihak.

Justeru ujarnya, media seharusnya mengalas amanah dan jujur dalam berkarya sama ada dalam bentuk penulisan mahupun karikatur sebagai bahan bacaan rakyat agar tidak memesongkan fikiran mereka daripada fakta sebenar.

"Trend seumpama ini seolah-olah jelas menghina dan memandang rendah kepada kaedah-kaedah Islam, ini adalah trend yang sangat buruk dan mencerminkan betapa khianatnya parti ini dalam tugas yang sepatutnya menobatkan serta menjunjung titah perintah Allah.

"(Namun malangnya) inilah trend media massa yang dimiliki oleh parti nasionalis Melayu yang memang tidak memberi apa-apa martabat kepada syariat Islam, tidak menghargainya walaupun mereka mengatakan mereka adalah perjuang Islam tetapi mereka tidak berjuang atas dasar Islam,"tegas Ustaz Ghani.

Karikatur kontroversi itu disiarkan pada muka surat 15 Utusan Malaysia semalam yang memaparkan dua situasi aduan mangsa rogol yang berbeza.

Situasi pertama, mangsa rogol telah mengemukakan aduan kepada jabatan agama, dengan jelas dialog pada karikatur tersebut mengambarkan jabatan agama menolak aduan wanita tersebut kerana mangsa gagal mengemukakan empat orang saksi dan rakaman video tidak laku untuk mengadili kes rogol tersebut.

Sementara itu dalam situasi kedua, mangsa telah membuat laporan polis dan pegawai polis yang bertugas itu dengan tegas mengatakan kes tersebut layak diadili dengan menyifatkan rakaman video adalah antara bukti yang kuat.

Tambah Ustaz Ghani lagi, gambaran yang cuba diberikan oleh utusan Malaysia dalam karikatur itu jelas sekali bertentangan dengan hukum Islam sebenar.

"Dalam konteks kes individu yang dirogol, masih ada hakim-hakim yang bijak mencari bahan bukti dalam mencari kebenaran sesuatu dakwaan itu, sekirannya tidak sabit hukum yang paling keras, sekurang-kurangnya akan disabit hukuman ta'zir," jelas beliau.

Mengulas lanjut kedangkalan Utusan Malaysia itu, Ustaz Ghani menasihatkan akhbar-akhbar lain di negara ini agar matang dan tidak lunak memperkasakan politik sempit sesebuah parti sehingga sanggup menghina kesucian Islam.

Tambahnya, karya seumpama itu tidak akan membawa apa-apa kebaikan kepada golongan pembaca sebaliknya hanya meniup api kemarahan umat Islam.

"Jadi kalau ada mana-mana media Melayu yang gagal memartabatkan kebenaran Islam, itu bermakna mereka telah gagal menggalas amanah Allah, Rasul dan umat Islam," katanya.

Ustaz Ghani yang dihubungi TvSelangor turut menasihatkan pelukis karikatur itu untuk lebih menghargai bakat yang dikurniakan untuk berkarya ke arah kebaikan dan memberi manfaat dalam membina minda masyarakat.

"Kepada pelukis kartun, beliau harus lebih beramanah terhadap Allah serta memikirkan pengaruh dan kesan dari setiap karyanya itu, ingatlah bahawa tiada satu zarah kebaikan pun yang terlepas untuk dihitungkan begitu juga dengan setiap zarah kejahatan yang pasti tidak akan terlepas dari pengadilan Allah,"katanya.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menyifatkan akhbar milikan Umno itu sebagai "Denmark Malaysia" kerana menghina syariat Islam sepertimana pada 2008, apabila negara itu pernah menerbitkan kartun Nabi Muhammad memakai serban yang bentuknya mirip sebutir bom.

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Dewan Pemuda PAS Kelantan juga semalam menyifatkan ia menghina Islam dan mahu penerbit dan pelukis karikatur itu didakwa.

Tiada ulasan: