Khamis, 2 Jun 2011

Sultan Nasihat Pengamal Media Amal Etika Kewartawanan Berhemah

TVS NEWS


SHAH ALAM : Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi peringatan kepada pengamal media di negara ini supaya bersikap profesional dalam menyampaikan sesebuah berita dan tidak mengenepikan etika kewartawanan untuk menyampaikan maklumat yang tepat kepada pembaca.

Baginda juga menasihati supaya media massa mahupun elektronik lebih menumpukan kepada berita-berita yang mempunyai nilai pendidikan, motivasi dan kemanusiaan di samping memberikan informasi berguna kepada pembaca.

Tuanku bertitah demikian sebelum berkenan mencemar duli merasmikan bangunan ibu pejabat baru Kumpulan Media Karangkraf yang terletak di Seksyen 15, di sini, hari ini.

Dalam titah ucapannya, baginda mahu Kumpulan Karangkraf yang turut menerbitkan akhbar Sinar Harian supaya terus komited melaporkan berita yang sahih.

" Beta berharap akhbar ini akan terus mengekalkan profesional dan beretika dalam melaporkan setiap berita dengan tepat dan cepat,"titah baginda.

Turut mengiringi ke bawah dulu tuanku ke majlis berkenaan ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad, ahli-ahli Exco, Teresa Kok, Ronnie Liu, dan Datuk Dr Hassan Ali.

Kira-kira 1,000 tetamu jemputan hadir bagi memeriahkan majlis perasmian bangunan ibu pejabat baru Kumpulan Media Karangkraf ini.

Baginda juga berkenan melawat ke bahagian percetakan untuk melihat proses penerbitan majalah, akhbar dan buku yang dihasilkan Karangkraf oleh Ketua Eksekutif Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Selain di bahagian percetakan, baginda juga turut melakukan tinjauan di Karangkraf Mall yang menghimpunkan kesemua majalah dan buku yang dicetak oleh syarikat ini.

Kumpulan Media Karangkraf merupakan sebuah syarikat penerbitan dan percetakan milik penuh orang Melayu.

Syarikat ini telah beroperasi selama 33 tahun dan kini menjadi penerbit terbesar negara dengan 27 judul majalah, dan sebuah akhbar iaitu Sinar Harian.

Selain majalah dan akbar, Karangkraf turut mempunyai bahagian buku yang terdiri dari syarikat-syarikat Alaf 21 Sdn Bhd, Buku Prima Sdn Bhd, dan Karya Bistari Sdn Bhd yang menghasilkan buku-buku ilmiah dan novel.

Tiada ulasan: