Khamis, 16 Jun 2011

Suara Keadilan pertahan kredibiliti laporan


KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Suara Keadilan sebagai sebuah akhbar yang menjunjung etika kewartawanan, mempertahan kredibiliti laporan bertajuk ‘Kerajaan Perpaduan Terkubur: Umno Putih Mata’ yang diterbitkan minggu lalu.

Pada kenyataan media hari ini, Editor Suara Keadilan, Fazallah Pit berkata pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu memberi kenyataannya kepada Suara Keadilan untuk diterbitkan bagi keluaran Suara Keadilan edisi 19.

“Wartawan Suara Keadilan ada menghubungi pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Shamsul Adabi Mamat yang bersetuju memberi pandangannya bagi penerbitan pada 7 Jun 2011 dalam Suara Keadilan 19,” katanya.

Beliau juga menolak dakwaan kononnya akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang diterbit secara tidak berkala, memanipulasi atau memutar belit kenyataan pensyarah berkenaan.

“Suara Keadilan sentiasa menjunjung etika kewartawanan dan sama sekali tidak memanipulasi atau memutar belit kenyataan yang diberi Shamsul Adabi,” katanya pada satu kenyataan media, hari ini.

Malaysiakini semalam yang memetik laporan Bernama, dengan tajuk ‘Pensyarah: Suara Keadilan putar belit kenyataan saya’ melaporkan Shamsul Adabi Mamat membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya dan mendakwa akhbar itu memutar belit kenyataannya.

Shamsul dipetik sebagai berkata laporan polis itu dibuat untuk membersihkan namanya memandangkan beliau tidak mengeluarkan kenyataan seperti dilapor.

Tiada ulasan: