Isnin, 20 Jun 2011

Saksi: Khir beri surat sokongan pada Proniaga

BERNAMA


Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo ada memberi surat sokongan kepada Pengarah Urusan Proniaga Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni untuk membangunkan projek perumahan di Seksyen 3, Tambahan Bandar Baru Bangi.

NONEBekas Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Datuk Harun Salim berkata bon pelaksanaan untuk syarikat Proniaga bagi tujuan itu telah dilupuskan keperluannya dan digantikan dengan 'directors shareholders guarantee' setelah perkara itu diputuskan Jawatankuasa Penswastaan projek PKNS yang dipengerusikan Dr Mohamad Khir ketika itu.

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd Daud, Harun menegaskan segala pemberian projek dan keputusan berkenaan projek itu adalah mengikut prosedur ditetapkan jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan.

khir toyo mansion 060709 07Beliau memberi keterangan pada hari kelapan kes perbicaraan Dr Mohamad Khir yang didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, di Shah Alam daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin.

Hartanah tersebut yang terletak di Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Dr Mohamad Khir, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki bersambung petang ini.

Tiada ulasan: