Selasa, 21 Jun 2011

Ruang Penipuan UMNO Terhad Jika BERSIH 2.0 Berjaya, Kata Badrul

Ditulis oleh Hadri Yaziz



KUALA LUMPUR : Isu keselamatan negara bukan faktor utama kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) membantah perhimpunan besar-besaran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 pada 9 Julai ini.

Namun menurut Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, kerisauan dan pelbagai bantahan yang timbul berikutan kekhuatiran rejim Umno bahawa ruang penipuan dalam pilihan raya oleh parti itu semakin terhad.

Apatah lagi, jika perhimpunan BERSIH 2.0 kali ini mampu menarik serta memberi kesedaran kepada ratusan ribu rakyat Malaysia akan ketidak telusan sistem pilihan raya di negara ini.

Justeru Badrul berkata, tidak timbul sebarang niat untuk mencetuskan rusuhan pada perhimpunan yang dijadualkan berlangsung pada 9 Julai depan.

Sebaliknya kata Badrul, ia merupakan jalan terakhir kepada tuntutan badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili majoriti rakyat sekali gus memandang serius perkara tersebut.

Tegasnya lagi, himpunan besar-besaran itu perlu diteruskan kerana pelbagai dialog dan perbincangan yang diadakan bersama kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mendapat respon yang menggalakkan, sebaliknya ia terus dimanipulasi ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada April lalu.

"Tetapi hakikatnya hari ini Umno telah menunjukkan bahawa itu bukan isunya kerana mereka juga akan turut berhimpun. Adakah ini juga akan menyebabkan kemusnahan? Ternyata tidak. Umno takut apabila rakyat sedar dan mendesak pilihan raya yang bersih dan adil sekali gus akan memusnahkan rejim itu sendiri kerana mereka memperolehi kemenangan secara penipuan," katanya.

"Kita tidak mahu menjatuhkan kerajaan melalui jalan raya. Kita tetap berpaksikan kepada peti undi. Tetapi hakikatnya kita perlu turun ke jalan raya untuk memastikan pilihan raya itu adil dan bersih," kata beliau kepada Tv Selangor.

Perhimpunan Bersih 2.0 kali ini diketuai oleh bekas Pengerusi Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan dengan menggariskan lapan tuntutan kepada SPR dan kerajaan untuk mengangkat amalan demokrasi melalui pilihan raya yang adil dan bersih.

Namun program itu mendapat reaksi negatif pelbagai pihak terutamanya pro Umno-BN yang menyifatkan ia sebagai usaha untuk menentang kerajaan selain berniat untuk menanam kebencian kepada parti pemerintah.

Malah beberapa NGO pro kerajaan akan turut sama mengadakan perhimpunan pada tarikh dan masa yang sama bagi menyokong sistem pilihan raya di negara ini.

Ia disusuli dengan kenyataan berbaur perkauman yang dikeluarkan Presiden Perkasa, Ibrahim Ali yang memberi amaran kepada kaum Cina supaya ‘membeli makanan tambahan untuk disimpan di rumah’ jika perhimpunan itu tidak dihentikan.

Badrul kemudian menjelaskan bahawa desakan BERSIH 2.0 kali ini lebih relevan, dan beliau turut menyentuh salah satu tuntutan yang mendesak SPR menggunakan dakwat kekal.

Beliau mendakwa kerajaan telah membelanjakan jutaan ringgit hanya untuk membekalkan pen dakwat kekal.

Bagaimanapun, ia tidak digunakan sewaktu pilihan raya yang lalu hanya kerana perisikan menyatakan bahawa BN akan hilang kuasanya jika mengguna pakai pen dakwat kekal.

Mengulas lanjut kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi minggu lalu yang mengakui kekuatan Pakatan Rakyat (PR) di lima buah negeri termasuk Perak, Badrul berkata, ia disifatkan sebagai umpan bagi membolehkan gagasan itu berasa selesa menjelang pilihan raya umum ke 13 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Sebaliknya ujar Badrul, barisan kepimpinan perlu sentiasa bersedia dan tidak lalai dengan pujian yang diajukan kerana ia lebih disifatkan sebagai satu usaha bagi mengalihkan fokus PR untuk menawan Putrajaya daripada Umno-BN.

"Kita memang mahu ambil alih Putrajaya tapi pra-syarat penting harus mempertahankan kubu kita dahulu dan jangan layan respon rejim pemerintah ini kerana mereka cuba mengalih tumpuan isu sebenar," katanya lagi.

Tiada ulasan: