Ahad, 26 Jun 2011

Putrajaya masih kaji idea ditubuh suruhanjaya siasat video seks

THE MALAYSIAN INSIDER


(kiri ke kanan) Shuib, Rahim dan Shazryl Eskay di luar mahkamah semalam. — Foto Choo Choy May
KUALA LUMPUR\ — Kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung penubuhan satu suruhanjaya siasatan diraja untuk menyiasat klip video seks yang memaparkan seorang lelaki dikatakan menyerupai pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Datuk Seri Najib Razak.

“Kita belum buat apa lagi keputusan, itu ada macam-macam pandangan, yang mana sekarang ini pihak polis telah hantar pita itu kepada pihak yang pakar dalam hal ini dan laporan itu telah diserahkan kepada mahkamah,” katanya dipetik Bernama Online.

Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sini malam tadi.

Perdana Menteri diminta mengulas tentang pengesahan dua pakar dari Amerika Syarikat yang rakaman video seks itu, yang didedahkan oleh trio Datuk T Mac lalu, adalah tulen dan tidak ada sebarang ‘tampering’ (diubah-ubah) dan ‘superimpose’ (gambar ditindih) dilakukan.

Perkara itu dimaklumkan dalam fakta kes yang dibacakan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam setelah ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim mengaku bersalah terhadap pertuduhan menayangkan secara terbuka adegan lucah iaitu hubungan seks antara lelaki dan perempuan.

Sebelum ini beberapa pihak mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja untuk menyiasat klip video seks berkenaan.

Najib berkata rakyat sendiri perlu buat penilaian mengenai pendedahan itu.

“Kalau kita kata apa-apa pun, yang paling penting ialah untuk mencari kesahihan dan kebenaran. Itu yang kita serahkan kepada rakyat untuk tentukan,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan Anwar bahawa bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik, yang turut mengaku bersalah atas tuduhan bersubahat dengan Shazryl Eskay dan Shuib, ada berjumpa dengan beliau di Parlimen kelmarin, Najib berkata dakwaan itu adalah suatu pembohongan.

“Tiada, itu dia (Anwar) boleh dakwa, tapi Tan Sri Rahim tiada jumpa saya sama sekali... itu satu pembohongan,” katanya.

Tiada ulasan: