Jumaat, 24 Jun 2011

Proham sokong Bersih 2.0, mahu hak bersuara rakyat dihormati

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) menyatakan sokongan kepada Himpunan Bersih 2.0 sambil menyifatkan rakyat wajar dibolehkan melahirkan suara mereka menerusi perhimpunan-perhimpunan aman.

Sehubungan itu, Proham menggesa pemimpin-pemimpin Bersih 2.0 agar memastikan pengikut dan penyokong mereka menggunakan kebebasan dan hak bersuara dengan penuh tanggungjawab dan mengambil kesemua langkah agar ia dapat dijalankan dengan aman.

“Proham meminta kumpulan-kumpuan lain (Perkasa dan Pemuda Umno) yang mengeluarkan kenyataan terhadap (menentang) Bersih 2.0 juga menggunakan kebebasan dan hak mereka dengan aman tanpa menghalang hak orang lain,” kata Proham dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kata Proham, kebebasan untuk berhimpun adalah satu hak asasi manusia yang fundamental dan ekspersi sah pendapat awam dalam tradisi demoktratik sebagaimana dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Perundangan semasa di Malaysia yang menghalang kebebasan berhimpun melanggar hak asasi manusia dan tidak konsisten dengan prinsip-prinsip demokratik.

Sehubungan itu, Proham juga mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar tidak mengehadkan kebebasan asas yang termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia dan Konvensyen Sivil dan Hak Berpolitik.

Malah kata Proham, polis juga seharusnya mengelakkan kekerasan dalam mengawal peserta dan menggunakan syor-syor yang dikemukakan oleh Suhakam hasil inkuiri awam berhubung insiden KLCC, yang diketuai oleh Datuk K.C. Vohrah beberapa tahun lalu.

“Kedua-dua Kementerian Dalam Negeri dan PDRM seharusnya menjalankan tanggungjawab sebagai penjawat awam tanpa rasa bimbang atau takut bagi memastikan ruang bagi perhimpunan yang aman dalam masyarakat demoktratik,” katanya.

Proham juga meminta kesemua rakyat Malaysia mengamalkan kesederhanaan dalam pendekatan yang boleh diterima bagi menghormati hak semua pihak dan menjalankan tanggungjawab.

Tiada ulasan: