Jumaat, 24 Jun 2011

'Polis ada cara halang perhimpunan 9 Julai'

MALAYSIA KINI


Polis akan menggunakan cara tersendiri untuk memastikan perhimpunan haram yang dirancang pada 9 Julai ini tidak akan berlaku, kata Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh.

"Apa rancangan dan jenis tindakan yang akan kita ambil itu, biarlah polis sahaja yang tahu. Yang pasti, kita akan ambil tindakan sewajarnya bagi menghalang perhimpunan ini," katanya dalam sidang akhbar di ibunegara hari ini.

Amar Singh berkata sehingga hari ini, tidak ada satu pihak pun yang memohon permit untuk mengadakan perhimpunan itu.

Oleh itu, kata beliau, sekiranya perhimpunan itu diadakan juga, ia boleh diklasifikasikan sebagai perhimpunan haram atau tidak ada permit/lesen seperti yang ditetapkan oleh Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967.

Amar Singh berkata sehingga kini polis telah menerima lebih daripada 800 laporan polis berhubung bantahan terhadap demonstrasi ini yang dibuat oleh pelbagai pihak termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO), golongan peniaga, persatuan-persatuan, ahli politik dan orang awam (individu).

"Selain daripada perhimpunan yang menggunakan nama BERSIH 2.0, pada masa yang sama juga terdapat dua kumpulan berlainan telah menyatakan hasrat untuk membuat perhimpunan di sekitar ibu kota bagi membantah perhimpuan Bersih ini.

"Dengan adanya kumpulan yang tidak sefahaman pendapat ini berhimpun, kita khuatir akan mencetuskan keadaan yang boleh menggangu aktiviti harian, perniagaan dan ketenteraman awam," katanya.

Amar Singh meminta penganjur supaya menarik balik rancangan mereka untuk mengadakan perhimpunan haram itu.


Tiada ulasan: