Khamis, 16 Jun 2011

Permohonan semakan MP Sg.Siput Didengar 7 Julai Ini

TVS NEWS




KUALA LUMPUR : Permohonan Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. D Jeyakumar untuk mencabar keputusan kerajaan kerana didakwa gagal memberi peruntukan pembangunan bernilai RM1 juta untuk kes yang diwakilinya, akan didengar pada 7 Julai ini oleh Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan Kuasa-kuasa Khas) di sini.

Hakim Abang Iskandar Abang Hashim menetapkan tarikh itu selepas menemui peguam B.Mahaletchumi yang mewakili Jeyakumar, dan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan Shamsul Bolhassan bagi pihak Peguam Negara.

Pada 25 Februari lalu, Hakim Datuk Aziah Ali memberikan kebenaran kepada Jeyakumar selaku pemohon untuk memulakan tindakan tersebut setelah menolak bantahan Peguam Negara.

Pada 29 Oktober tahun lalu, Jeyakumar, 52, memfailkan permohonan bagi memperoleh pengisytiharan bahawa peruntukan khas kawasan Parlimen mesti dbekalkan dan disediakan kepada semua ahli Parlimen secara saksama.

Dalam permohonannya, Jeyakumar daripada Parti Sosialis Malaysia, menamakan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri, Pengarah Pembangunan Perak dan kerajaan sebagai responden, selepas Pejabat Pengarah Pembangunan Perak menolak permohonannya mendapatkan dana untuk

disumbangkan kepada SMJK Shin Chung, SJK Methodist dan Rumah Anak Yatim Nurul Ihsan selain dana bagi projek kecil untuk perkampungan Orang Asli.

Beliau memohon perintah supaya kesemua responden itu menjelaskan bidang kuasa masing-masing dalam mengagihkan dana daripada Peruntukan Khas Kawasan Pilihan Raya dan menyatakan prosedur pengagihan peruntukan itu sejak 2008.

Sementara itu, mahkamah menetapkan 19 Julai ini untuk mendengar permohonan Pejabat Peguam Negara bagi menggantung perintah Mahkamah Tinggi pada 25 Februari lalu yang membenarkan Jeyakumar mencabar keputusan kerajaan sehingga pelupusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Tiada ulasan: