KUALA LUMPUR — Datuk Seri Nazri Aziz menafikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendaftar rakyat asing sebagai pengundi sambil menegaskan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) boleh dengan segera menolak usaha-usaha sedemikian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata sistem ALIS atau Agency Link-Up System yang digunakan oleh JPN boleh mengesan keadaan sedemikian dan secara automatik boleh menolak sebarang usaha pendaftaran tidak sah membabitkan pendatang asing.
“Sistem ALIS bukan sahaja menolak mereka yang bukan warganegara tidak sah, tetapi juga akan menolak mereka yang tidak mencapai kriteria usia dan juga mereka yang menggunakan kad pengenalan palsu,” kata Nazri (gambar) dalam respons kepada soalan Datuk Nur Jazlan Mohamed (Pulai-Umno) di Dewan Rakyat hari ini.
Nur Jazlan meminta kerajaan menyatakan sama ada laporan-laporan media bahawa pendatang asing didaftarkan sebagai pengundi dengan menggunakan kad pengenalan palsu adalah benar ataupun sebaliknya, dan bilangan warga asing yang terlibat dalam urusan sedemikian.
“Jika sesiapa ada bukti pendatang asing didaftarkan sebagai pemilih, sila bawa kepada SPR untuk siasatan lanjut,” kata Nazri lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan