Rabu, 1 Jun 2011

Pemimpin PAS: Hanya khabar angin, Nasharudin tidak tarik diri


KUALA LUMPUR— Nasharudin Mat Isa masih dalam persaingan mahu mempertahankan kerusi timbalan presiden PAS, kata beberapa pemimpin parti sambil menegaskan, khabar angin sengaja disebarkan kononnya beliau sudah pun menarik diri.

Khabar angin itu bertiup kencang sejak dua hari lalu. Pemilihan diadakan 5 Jun ini sempena muktamar kali ke-57.

Desas-desus itu juga dinafikan oleh Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib sambil menyifatkan apa yang berlaku sekarang hanya sebahagian daripada kempen pemilihan.

Pada pemilihan kali ini selain Nasharudin, jawatan nombor dua parti Islam itu turut ditandingi ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu dan Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Nasharudin tidak tarik diri, beliau tetap bertanding dan saya sudah sahkan sendiri dengan beliau melalui panggilan telefon.

“Beliau akan tetap bertanding, khabar angin ini mungkin hanya untuk kempen,” kata Harun kepada The Malaysian Insider malam tadi.

Terdahulu, Ketua Dewan Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan juga mengesahkan Nasharudin kekal bertanding.

“Saya dimaklumkan beliau masih dalam saingan, itu (dakwaan) khabar angin sahaja. Sudah dua hari khabar angin macam ini disebarkan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Dalam temu bual khas dengan The Malaysian Insider petang semalam Nasrudin yang mempertahankan jawatannya tanpa cabaran berkata, tiada usaha ke arah kompromi bagi mengelakkan saingan jawatan nombor dua PAS itu.

“Kalau tidak ada kompromi pun tak mengapa... kalau nak kompromi itu hak mereka,” kata Nasrudin yang menekankan Pemuda PAS tidak mengadakan usaha ke arah berkompromi.

“Lebih efisien jika perwakilan sendiri yang membuat pilihan,” katanya lagi.

Nasharudin yang menyandang jawatan timbalan presiden sejak 2005 tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan pengesahan.

Pada pemilihan kali ini Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan presiden disandang sejak 2002.

Kata Harun lagi, beliau ada menemui Nasharudin baru-baru ini, namun soal tarik diri daripada pertandingan tidak pernah dibangkitkan.

“Saya ada jumpa dengan beliau (baru-baru ini), hanya perjumpaan biasa sahaja dan soal nak tarik diri itu tidak pernah dibangkitkan.

“Jadi saya pelik apabila ada yang mengatakan Nasharudin akan menarik diri,” katanya lagi.

Bagaimanapun Pesuruhjaya PAS Terengganu itu tidak menolak perkara itu akan berlaku sekiranya wujud pakatan untuk memberi laluan kepada calon lain.

“Setakat yang saya tahu Nasharudin tidak akan tarik diri tapi saya tidak tahu apa yang akan berlaku nanti.

“Kemungkinan itu (untuk tarik diri) ada kalau ada pakatan, saya tidak tahu apa-apa mengenai perkara itu,” katanya.

Menurut maklumat yang diterima The Malaysian Insider, kononnya ada usaha-usaha yang dilakukan golongan ulama untuk memujuk Nasharudin agar menarik diri dengan tujuan untuk memberi laluan kepada Tuan Ibrahim.

Bagaimanapun perkara itu telah dinafikan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Nik Zawawi Nik Salleh dan Harun.

Tiada ulasan: