Selasa, 21 Jun 2011

Mahasiswa sokong BERSIH 2.0 dan dokong Rakyat Gebeng

MERDEKA REVIEW

Dalam kehangatan massa memperbincangkan mengenai Himpunan Aman BERSIH 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai ini, Mahasiswa konsisten untuk terus memberi perhatian kepada perkara asas perjuangan iaitu membela rakyat Gebeng yang sedang diancam risiko keselamatan. Mahasiswa tegaskan bahawa mahasiswa menyokong sepenuhnya Himpunan Aman BERSIH 2.0 dan akan mengerahkan sepenuhkan kekuatan untuk bersama dengan rakyat pada perhimpunan tersebut.

Namun bagi mahasiswa, BERSIH 2.0 bukan kemuncak kepada perjuangan mahasiswa dalam membina negara Malaysia yang lebih baik. Hal ini kerana masih banyak prioriti yang lebih penting untuk mahasiswa perhalusi seperti isu rakyat Gebeng yang sedang berhadapan dengan ancaman bahaya radiasi apabila syarikat Lynas terus berkeras untuk meneruskan rancangan pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi di kawasan tersebut.

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) tegaskan bahawa mahasiswa menyokong sepenuhnya pendirian rakyat Gebeng yang menolak pembinaan kilang tersebut dikawasan mereka. Oleh itu SMM dengan kerjasama 11 kumpulan mahasiswa akan mengadakan Jelajah Mahasiswa Selamatkan Rakyat Gebeng pada 24 sehingga 25 Jun ini. Jelajah ini antara lain memberi fokus untuk membangkitkan kefahaman dan kesedaran dalam kalangan rakyat Gebeng khususnya generasi muda mengenai hak mereka yang perlu dipertahankan.

Mahasiswa merasa sangat terkesan apabila mendengar sendiri rintihan anak muda dan warga Gebeng semasa lawatan pertama ke Gebeng pada 11 Jun yang lalu. Apabila kami bertanya kepada generasi muda yang berumur sekitar 15 hingga 16 tahun, mereka menjelaskan bahawa tanpa Lynas mereka sudah hidup dalam keadaan yang cukup tidak selesa apabila rumah sentiasa berdebu dan udara sering berbau. Mereka juga merasakan dengan adanya Lynas semestinya akan meningkatkan ancaman bahaya terhadap kehidupan mereka.

Bagi warga tua yang sudah mendiami di sekitar kawasan Lynas selama puluhan tahun pula berkata, mereka tidak ada pilihan lain selain berpindah bagi menjamin masa depan mereka dan generasi mereka. Mereka tidak sanggup berhadapan dengan ancaman radiasi yang boleh menimpa mereka seperti mana yang telah menimpa warga Bukit Merah suatu ketika dahulu.

Dalam aktiviti tiga hari dua malam tersebut, mahasiswa akan menjelajah dari pintu ke pintu dengan bahan edaran untuk masyarakat setempat. Bahan edaran tersebut mengandungi fakta radiasi yang pernah berlaku di Bukit Merah dan juga lampiran cerita peristiwa Chernobil yang pernah menggemparkan seluruh dunia. Selain itu, mahasiswa juga akan mengadakan malam santai anak muda untuk membolehkan mahasiswa berada lebih dekat dengan generasi muda Gebeng. Antara aktiviti yang akan diadakan adalah seperti tayangan video Chernobil, Bukit Merah dan juga perkongsian ilmiah antara mahasiswa dan anak muda Gebeng.

Ini merupakan langkah awal mahasiswa untuk membuktikan betapa mahasiswa memandang berat terhadap tekanan yang sedang dihadapi oleh rakyat di Gebeng. Mahasiswa tidak menolak untuk mengadakan aksi seterusnya jika keadaan mendesak untuk mahasiswa terus menekan pihak yang bertanggungjawab daripada terus menganiaya rakyat. Dalam masa terdekat juga mahasiswa akan menyerahkan memorandum kepada pihak Kedutaan Asia bagi memohon sokongan mereka terhadap perjuangan rakyat Malaysia yang menolak pembinaan kilang Lynas.

Mahasiswa meyakini bahawa negara serantau juga berhak merisaui kekalutan semasa ini yang boleh mendatang kesan yang boleh memudaratkan banyak pihak termasuk negara-negara jiran kepada Malaysia. Sesungguhnya mahasiswa berasa sangat hairan mengapa Kerajaan Malaysia menerima projek yang berisiko tinggi seperti Lynas sedangkan negara Australia sendiri tidak menerima cadangan pembinaan kilang tersebut di negara mereka. Mahasiswa bertekad untuk berjuang bersama rakyat Gebeng sehingga masyarakat di sana benar-benar bebas daripada ancaman radiasi.

*Kenyataan media oleh Ahmad Syukri Ab Razab (gambar kiri) selaku Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)

Disokong penuh oleh:

Nama: Ahmad Afif Bin Ahmad Mohtari Yasim
Jawatan: Exco Pendidikan dan Penyelidikan
Nama Pertubuhan: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Nama: Khairul Fadhli Ismail
Jawatan: Presiden
Nama Pertubuhan: Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA)

Nama: Wong Sweenee
Jawatan: Setiausaha Pengurusan
Nama Pertubuhan: Malaysia Youth and Students Democratic Movement (DEMA)

Nama: Mohd Syahid Zaini
Jawatan: Presiden
Nama Pertubuhan: Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN)

Nama: Mohd Nazreen bin Jaafar
Jawatan: Setiausaha
Nama Pertubuhan: Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI)

Nama: Masturah Binti Abu Bakar
Jawatan: Koordinator
Nama Pertubuhan: Sister’s In Movement (SIM)

Nama: Muhammad Shahimi Ariffin
Jawatan: Koordinator
Nama Pertubuhan: Aksi Mahasiswa Peduli (AKSI)

Nama: Mohd Taufiq Abdul
Jawatan: Pengerusi
Nama Pertubuhan: Pro-Mahasiswa Nasional (Pro-MN)

Nama: Ahmad Syazwan Hassan
Jawatan: Presiden
Nama Pertubuhan: Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)

Tiada ulasan: