Sabtu, 18 Jun 2011

Khairy: Himpunan 9 Julai Pemuda Umno tetap diadakan

TERKINI



KUALA LUMPUR — Khairy Jamaluddin hari ini menegaskan perhimpunan Pemuda Umno pada 9 Julai ini, pada tarikh yang sama dengan Himpunan Bersih 2.0 akan diteruskan meskipun Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi amaran polis akan bertindak terhadap mana-mana perhimpunan tidak sah.

Ketua Pemuda Umno (gambar) dan Barisan Nasional ini berkata Hishammuddin, yang mengetuai pergerakan itu sebelum ini, boleh memberi amaran tetapi sayap Umno itu akan meneruskan rancangannya tidak kisah apa yang bakal berlaku.

“Pemuda saya dan saya sudah bersedia untuk berhadapan dengan apa sahaja implikasinya. Ini Malaysia baru.

“Kami ada hak untuk berhimpun, sebagaimana dijamin oleh Perlembagaan (Persekutuan). Pemuda Umno akan berarak 9 Julai. Itu sahaja,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Terdahulu, Hishammuddin berkata Pemuda Umno akan berdepan tindakan sekiranya mereka meneruskan cadangan untuk mengadakan satu lagi perhimpunan pada 9 Julai ini.

Hishammuddin berkata tiada sesiapapun yang melebihi undang-undang dan mereka perlu berhadapan dengan polis seperti orang lain.

Tiada ulasan: