Isnin, 6 Jun 2011

Kes Anwar : Hakim Enggan Undur

Ditulis oleh Naeem Raffi




KUALA LUMPUR : Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin hari ini menolak permohonan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya beliau mengundurkan dirinya sebagai hakim dalam perbicaraan fitnah liwat ke atas Anwar kerana tidak berlaku adil.

Zabidin menetapkan 13 Julai depan untuk membolehkan pihak peguam bela memfailkan rayuan terhadap keputusannya untuk tidak berundur daripada mendengar kes itu.

Ini kali ketiga permohonan Anwar bagi melucutkan Zabidin gagal.

Beliau sebentar tadi memberitahu bahawa permohonan pihak pembelaan tiada merit untuk dipertimbangkan.

"Mahkamah dapati tiada merit dalam permohonan ini. Dan mahkamah ini menolak permohonan yang dibuat," kata Zabidin.

Anwar yang ditemui pemberita selepas itu mengutuk sekeras-kerasnya keputusan Zabidin dan pihak pendakwaraya yang pada hematnya bersikap berat sebelah dalam kes membabitkan dirinya.

" Kalau macam itu buat apa panggil saya?Sepatutnya mana-mana sistem atau hakim perlu dengar kedua-dua belah pihak, yang dituduh dan yang menuduh. Sebab itu kita buat keputusan untuk mengemukakan notis rayuan dan memberi ruang sehingga mahkamah rayuan buat keputusan," kata Anwar.

Bahkan beliau turut menyatakan kekesalannya terhadap pihak pendakwaraya yang mempermainkan undang-undang dengan beranggapan bahawa mahkamah untuk pihak pendakwaraya dan pihak berkuasa.

" Saksi yang kita kemukakan kepada mahkamah tidak langsung memberi kerjasama..sehingga kini kami menunggu (Datuk Seri )Najib dan (Datin Seri) Rosmah, namun tidak ada jawapan dari pihak pendakwa , dlm satu kes yg lain, Musa Hassan diminta hadir,peguam saya tungggu tapi beliau tidak hadir tanpa sebarang alasan,"katanya lagi.

Zabidin sebelum ini memutuskan bahawa tidak ada keraguan tentang keterangan pengadu Saiful Bukhari Azlan bahawa dirinya diliwat walaupun belum mendengar pembelaan dari Anwar.

Menurut Zabidin, Saiful adalah seorang yang boleh dipercayai dan "berwibawa".

Tiada ulasan: