Isnin, 13 Jun 2011

Kereta pegawai SPRM disimbah cat merah

BERNAMA


Kereta seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disimbah cat merah di tempat letak kereta berdekatan rumahnya di Bandar Tasik Selatan di Kuala Lumpur.

Kejadian itu disedari Penolong Kanan Penguasa Cawangan Perisikan Khas SPRM, Mohamed Yussof Zakaria pada jam 7.15 pagi tadi semasa beliau hendak ke pejabatnya di Putrajaya.

Menurut sumber, cat itu disimbah di bahagian hadapan cermin kereta dan pintu di bahagian tempat duduk pemandu.

Perbuatan itu disyaki dilakukan individu yang marah dengan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan oleh Mohamed Yussof.

Beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya pada jam 10 pagi tadi.

Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu tetapi diserahkan kepada balai polis berhampiran tempat kejadian untuk tindakan selanjutnya.


Tiada ulasan: