Jumaat, 24 Jun 2011

Karikatur: PAS buat demo, gesa KDN gantung permit Utusan

TERKINI

KUALA LUMPUR— PAS mengadakan demonstrasi di bandar-bandar utama hari ini sambil menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas terhadap Utusan Malaysia berhubung penyiaran karikatur yang didakwa menghina agama Islam.

Selain itu, parti Islam itu juga mahu polis dan jabatan agama menyiasat karikatur yang disiarkan pada 15 Jun lalu.

Hari ini, demonstrasi diadakan di beberapa negeri termasuk Perak, Pulau Pinang, Melaka dan Terengganu ekoran keengganan Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka kerana menyiarkan karikatur itu.


Demonstrasi anjuran PAS di pekarangan Masjid Jamek, Kampung Baru, Kuala Lumpur membantah karikatur terbitan Utusan Malaysia. — Foto oleh Choo Choy May
“Kita sudah hantar memorandum supaya Utusan Malaysia meminta maaf tapi sehingga hari ini mereka tidak berbuat demikian... kita tidak boleh membiarkan akhbar yang menghina Islam.

“Sekali lagi kami mahu Utusan Malaysia meminta maaf kepada seluruh umat Islam, kita juga mahu polis, jabatan agama menyiasat kartunis dan editor-editor yang menghina Islam ini,” kata Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan Nasaie Ismail ketika menyampaikan ucapan di pekarangan Masjid Jamek, Kampung Baru di sini selepas solat Jumaat.

Minggu lalu Dewan Pemuda PAS pusat memberi tempoh tujuh hari kepada Utusan Malaysia agar memohon maaf bermula dari tarikh karikatur itu disiarkan.

Selain itu, Dewan Pemuda PAS pusat juga mahu Utusan Malaysia mengambil tindakan ke atas pelukis karikatur itu yang hanya dikenali sebagai “Miki”.

Utusan Malaysia telah menyiarkan karikatur bertajuk “Kekeliruan Kes Rogol” dan ia menurut Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Dewan Pemuda PAS Kelantan menghina Islam.

Dalam demonstrasi aman yang disertai kira-kira 50 orang turut melaungkan slogan “Utusan Hina Islam”, “Hancur Utusan Malaysia”, Boikot Utusan Malaysa”, “Hidup Umat Islam”, “Jangan Hina Ajaran Islam” dan “Batalkan Permit Utusan Malaysia.”

Peserta demonstrasi itu juga membakar Utusan Malaysia sebagai simbolik membantah tindakan akhbar milik Umno.

Sementara itu Timbalan Pesuruhjaya III PAS Wilayah Persekutuan Ahmad Sabki Yusof berkata KDN perlu mengambil tindakan segera dengan menggantung permit Utusan Malaysia.

“Ini menunjukkan satu kebiadapan mereka yang menghina Islam dan menghina ajaran Islam... mereka telah lakukan kesalahan besar kepada umat Islam.

“KDN perlu mengambil tindakan segera, kami gesa KDN menggantung permit Utusan Malaysia... kami juga mahu pihak berkuasa segera mengambil tindakan tegas ke atas akhbar itu yang jelas menghina Islam,” katanya.

Pagi tadi, Dewan Muslimat PAS pusat telah membuat aduan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan menggesa agensi itu melakukan siasatan ke atas Utusan Malaysia.

Sayap PAS itu juga mahu Jawi menyiasat pembabitan biro politik Umno dalam pengeluaran dan penerbitan karikatur tersebut.

Sementara itu di Melaka, kira-kira 100 orang telah berkumpul di hadapan Masjid Bukit Katil bagi membantah dan mengecam penyiaran karikatur tersebut.

Menurut Pesuruhjaya PAS Melaka Adly Zahari, pihak kesal dengan tindakan dengan akhbar berbahasa Malaysia itu sambil menyifatkan “ia boleh diselesaikan” jika memohon maaf.

“Demonstrasi ini dianjurkan Pemuda PAS dalam isu karikatur yang disiarkan dalam Utusan Malaysia yang menghina hukum Islam, kita kecewa dengan sikap Utusan Malaysia dan sikap yang ditonjolkan mereka yang mengelirukan umat Islam, menghina hukum Islam, menghina institusi agama dan menggambarkan undang-undang Islam tidak mampu membela nasib mangsa rogol.

“Jadi dalam perkara ini KDN perlu mengambil tindakan tegas, Utusan Malaysia juga kalau sudah melakukan kesilapan mohon maaf sahaja, ia boleh diselesaikan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Di Perak pula, Pesuruhjaya PAS negeri Abu Bakar Hussain telah mengetuai demonstrasi aman yang diadakan di Masjid Negeri, Ipoh.

Menurut Exco Pemuda PAS Perak Hafiz Sabri, pihaknya mencadangkan agar kerajaan membentuk satu panel penilai untuk memantau laporan dan karikatur yang disiarkan di media arus perdana.

“Pada demonstrasi tadi, kira-kira 300 orang telah berkumpul untuk menyatakan pendirian kami membantah karikatur yang disiarkan Utusan Malaysia pada 15 Jun lalu dan kami mahu Utusan Malaysia memohon maaf.

“Kami juga mahu agar rakyat memboikot Utusan Malaysia selain mahu KDN mengambil tindakan tegas,” katanya.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang Afnan Hamimi Taib Azamudin berkata pihaknya menganjurkan demonstrasi di tiga buah masjid di negeri itu iaitu Masjid Jamek Permatang Janggus, Permatang Pauh, Masjid Jamek Hashim Yahya, Jelutong dan Masjid Kampung Padang Lalang di Bukit Mertajam.

“Hari ini kita telah mengadakan demonstrasi bantahan terhadap Utusan Malaysia di tiga masjid kerana tindakan Utusan Malaysia yang sehingga kini masih tidak memberikan sebarang respons terhadap memorandum bantahan yang kita hantar minggu lalu.

“Kami menyifatkan Utusan Malaysia tidak sensitif apabila bertindak berdiam diri dalam perkara ini dan kita mahu KDN mengambil tindakan tegas terhadap Utusan Malaysia,” katanya.

Tiada ulasan: