Khamis, 9 Jun 2011

Kaji semula pelepasan kuota rumah bumiputera

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pusat meminta supaya Kerajaan Negeri Selangor mengkaji semula cadangan pelepasan secara automatik kuota perumahan bumiputera di negeri itu.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, ia adalah selaras dengan apa yang telah ditegaskan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor dan Johor melalui ketua-ketua dewan tersebut semalam.

“Pemuda PAS melihat bahawa cadangan ini lebih memberikan keuntungan kepada pemaju sahaja berbanding matlamat awal Jawatankuasa Pelepasan Kuota Bumiputera Kerajaan Negeri yang berfungsi untuk membolehkan hartanah kuota bumiputera dimiliki oleh golongan Bumiputera.

“Sebaliknya Kerajaan Negeri perlu mencari keseimbangan dalam mengatasi masalah hartanah bumiputra yang tidak mampu dibeli terutama di kawasan-kawasan utama di Selangor,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, pelepasan secara automatik berdasarkan konsep self regulatory yang dicadangkan oleh kerajaan negeri akan lebih membuka ruang untuk berlakunya penyelewengan melalui pelepasan yang berlaku tanpa kawalan.

Tambahnya, pihaknya melihat sektor hartanah di Negeri Selangor merupakan sektor yang bernilai tinggi dan tindakan melepaskan kawalan kerajaan melalui prinsip self regulatory ke atas sektor ini masih belum sesuai dilaksanakan buat masa ini.

Beliau berkata, Pemuda PAS yakin Kerajaan Negeri Selangor terbuka untuk mengambilkira pandangan pihak-pihak yang terlibat dalam soal hartanah di negeri Selangor seperti pemimpin masyarakat, NGO, tokoh-tokoh akademik, budayawan Pihak Berkuasa Tempatan dan lain-lain pihak berautoriti supaya dapat dilibatkan untuk mendapatkan pandangan dalam membuat keputusan, bagi mengatasi masalah hartanah bumiputra di negeri Selangor.

Katanya, Pemuda PAS ingin melihat supaya Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor terus mendapat sokongan padu rakyat dan mengelakkan perkara ini menjadi isu yang mungkin digunakan pihak-pihak tertentu untuk memburukkan Kerajaan Negeri Selangor yang telah terbukti menunjukkan kecemerlangan dalam segenap sudut termasuk ekonomi, urustadbir dan pembangunan rakyat yang mapan.

Tiada ulasan: