Isnin, 20 Jun 2011

Inkues: Keluarga Sarbaini tak pernah tukar fikiran

Norsyafinas Ahmad Sukri


Keluarga allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed tidak pernah menolak keputusan kerajaan mengadakan inkues bagi menyiasat punca kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia itu.

Justeru, peguam keluarga itu Ghazali Mohd Ramli berkata tidak timbul soal sama ada keluarga si mati menukar fikiran di saat-saat akhir.

NONE"Kita tidak pernah bertukar fikiran. Mungkin perkara tersebut datangnya daripada anaknya (Sarbaini) yang berusia 26 tahun, yang young boy (budak muda) itu," katanya.

Ghazali pagi ini dilaporkan berkata, pihaknya memutuskan untuk mengikut undang-undang dan akur dengan keputusan kerajaan memanggil satu inkues awal bulan depan.

Katanya, mungkin ada yang tidak bersetuju dengan tindakan itu tetapi keluarga dan balu allahyarham bersetuju kerana "kita perlu ikut undang-undang".

Sebelum ini, anak sulung Sarbaini - Shahril - dilaporkan berkata pihaknya lebih suka jika Putrajaya terus menubuhkan suruhanjaya diraja siasatan berbanding inkues.

Rujuk balu

Katanya, keluarganya percaya inkues yang mahu diadakan sukar mengenalpasti punca kematian selain akan melambatkan proses menuntut keadilan.

NONEKetika dihubungi Malaysiakini hari ini, Ghazali bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung persetujuan itu.

Beliau sebaliknya mencadangkan supaya perkara itu dirujuk dengan balu almarhun Masiah @ Maziah Manap.

"Perkara ini juga perlu dirujuk kepada Puan Maziah," katanya lagi.

Usaha Malaysiakini menghubungi Maziah setakat ini bagaimanapun belum berhasil.

Anggota keluarga Ahmad Sarbaini akan hadir pada inkues yang akan bermula pada 4 Julai depan.

Tiada ulasan: