Timbalan Presiden Petekma Syahrir Abdul Aziz berkata, pendapatan para pemandu akan terjejas dan mengalami kerugian besar sekiranya perhimpunan itu diteruskan.
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma) hari ini membuat laporan polis terhadap Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk Ambiga Sreenevasan dan himpunan yang bakal diadakan pada 9 Julai ini.
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini oleh empat wakil persatuan itu petang tadi.
Timbalan Presiden Petekma Syahrir Abdul Aziz berkata, pendapatan para pemandu akan terjejas dan mengalami kerugian besar sekiranya perhimpunan itu diteruskan.
Oleh itu beliau yang mewakili persatuan itu mendesak supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein bertindak tegas ke atas penganjur perhimpunan terbabit.
Menurutnya, beliau tidak mahu perkara yang sama berulang sepertimana Himpunan Bersih 1.0 pada 2007.
“Walk of Democracy” ini akan mengakibatkan kesesakan lalu lintas sehingga menyebabkan perkhidmatan pengangkutan awam mengalami kerugian kerana orang awam mengalami kesulitan untuk mendapatkan teksi. Periuk nasi kami akan terjejas sama.
“Kami mahu PDRM dan Menteri Dalam Negeri mengambil tindakan tegas terhadap pihak penganjur supaya peristiwa Bersih 1.0 pada 2007 lalu tidak akan berulang.
“Bersih 1.0 menyebabkan huru-hara dan kemusnahan harta benda yang teruk pada masa itu ,” katanya kepada pemberita di luar balai polis berkenaan.
PUPTEM buat laporan polis esok
Presiden Persatuan Usahawan Pemilik Teksi Eksekutif Malaysia (PUPTEM), Azmi Mohd Yatim yang ditemui berkata, laporan polis susulan akan dibuat oleh persatuan itu berhubung perkara sama di IPD Cheras esok.
Mengulas mengenai himpunan Bersih, Azmi berharap agar ia dibatalkan supaya tidak menjejaskan pendapatan mereka.
Semalam dilaporkan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata polis tidak akan mengeluarkan permit untuk perhimpunan Bersih atau kumpulan lain yang menentang perhimpunan itu.
Khalid berkata, keputusan dibuat kerana perhimpunan itu bukan sahaja akan menggugat keamanan, tetapi juga mencetuskan kekacauan.
Menurut beliau, polis menerima 418 laporan dari para peniaga, ejen pelancongan dan individu yang membantah perhimpunan itu diadakan di Kuala Lumpur pada tarikh 9 Julai.
Malah Khalid dilaporkan meminta penganjur perhimpunan tersebut membatalkannya kerana menurut beliau, ia akan mengancam keselamatan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan