Selasa, 14 Jun 2011

Himpunan Bersih: Pemuda Pakatan kecam Perkasa, dakwa sengaja mahu buat kacau


KUALA LUMPUR — Sayap pemuda Pakatan Rakyat mengecam langkah pertubuhan membela hak Melayu, Perkasa yang mahu menghalang perhimpunan Bersih 2.0 dengan mengadakan perarakan balas serentak 9 Julai ini.

Malah pemimpin pemuda Pakatan Rakyat juga menyifatkan tindakan Perkasa mahu mengerahkan ahlinya berarak dan bertembung dengan himpunan Bersih sebagai “satu ancaman serius” dan “tidak memahami hak asasi manusia.”

Mereka juga mendakwa Perkasa sengaja mahu membuat kekacauan dan menimbulkan huru-hara apabila mengambil pendekatan itu.

“Kenyataannya yang mahu bertembung semasa perhimpunan tersebut adalah merupakan satu ancaman yang serius kepada keselamatan negara.

“Polis perlu menyiasat (Presiden Perkasa) Datuk Ibrahim Ali berhubung ancaman yang telah dikeluarkan secara terbuka,” tegas Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat.

Semalam Ibrahim memberi amaran bahawa mereka akan menganjurkan protes balas bagi menghalang himpunan Bersih 2.0 anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas juga mendakwa himpunan Bersih itu akan menimbulkan huru-hara apabila ada pesertanya membaling batu dan membakar kereta.

Bagaimanapun Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenavesan dan pemimpin PAS menegaskan himpunan Bersih bulan depan tetap akan diteruskan walaupun dibantah banyak pihak.

Suhaizan menegaskan himpunan Bersih 2.0 tidak akan menimbulkan huru-hara seperti mana yang didakwa Ibrahim.

“Pihak polis yang mempunyai kelengkapan mengawal rusuhan sebenarnya mampu mengawal keadaan dengan penuh hikmah, polis boleh menjaga keamaman himpunan Bersih dengan menyusun anggota polis di tepi jalan sepanjang himpunan menuju Istana Negara.

“Mereka yang didapati mewujudkan kekecohan perlu ditangkap. Jika pihak Perkasa dengan niat yang ikhlas mahu menghantar memorandum kepada pihak Istana, maka mereka dibenarkan berhimpun dan berarak daripada laluan yang berbeza,” katanya.

Justeru tambah beliau, polis perlu mengadakan perbincangan dengan kedua-dua penganjur untuk menetapkan laluan masing-masing.

“Pihak polis perlu membuat perbincangan yang rapi dengan penganjur kedua-dua pihak. Saya yakin pihak polis yang mempunyai banyak pengalaman mampu mengawal keselamatan negara.

“Jika dua himpunan dapat berjalan serentak dengan aman, maka saya penuh yakin pihak polis akan dihormati oleh rakyat dan masyarakat antarabangsa. Tetapi jika pihak polis hanya mengikut telunjuk pemimpin politik tertentu, maka polis akan dihina oleh semua pihak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Lee Khai Loon menyifatkan tindakan Perkasa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu beliau juga menyifatkan Perkasa tidak memahami hak asasi manusia apabila cuba menghalang rakyat menuntut keadilan dalam perjalanan pilihan raya.

“Perkasa telah memutarbelitkan perhimpunan aman Bersih 2.0 sebagai sesuatu tindakan yang mengacau... fokus dan matlamat Bersih 2.0 sengaja dialihkan dengan ancaman Perkasa yang akan menganjur pertembungan dan “lawan habis-habisan” pada hari sama.

“Sebenarnya perhimpunan aman yang akan dianjurkan oleh Gabungan Pilihan Raya dan Adil adalah sah, ia adalah usaha rasional,” katanya.

Tegas Lee, walaupun Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, namun sistem pilihan raya yang diadakan selama ini tidak telus selain telah dimanipulasikan.

“Pelbagai masalah serius seperti senarai pengundi yang mengandungi pengundi hantu, mengundi lebih sekali, undi pos yang bermasalah, tiada liputan adil oleh media dan sebagainya masih berleluasa dan tiada tindakan reform yang sebenar dijalankan.

“Maka, AMK menyeru agar Perkasa dan Konsesus Bebas untuk memberi kerjasama serta sokongan kepada tuntutan Bersih 2.0 untuk pendemokrasian Malaysia. Sebarang tohmahan yang dilemparkan ke atas himpunan Bersih atau usaha untuk pertembungan dengan Bersih adalah tidak wajar serta tidak bijaksana,” katanya.

Selain itu, tambah Lee, himpunan Bersih yang turut disertai parti politik tidak sepatutnya dilabelkan sebagai aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam.

“Perhimpunan dan perarakan yang aman adalah perkara biasa di banyak negara demokrasi yang maju, malahan tidak perlu memburukkannya.

“Aktiviti seperti demonstrasi atau perhimpunan hanya merupakan satu proses biasa untuk menyampaikan suara rakyat kepada pihak yang berkuasa.

“Oleh itu, AMK berharap pihak polis akan bertindak profesional dengan memberi permit kepada herhimpunan Bersih,” katanya.

Tiada ulasan: