PETALING JAYA — Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengamalkan “double standard” kerana tidak memberikan maklumat lengkap mengenai pengundi dalam senarai daftar pemilih.
Menurut timbalan presidennya Azmin Ali, dalam senarai daftar pemilih yang dibeli daripada SPR tidak dinyatakan alamat para pengundi.
Jelas beliau, lebih 90 peratus daftar pemilih yang berharga RM48,000 itu tidak mempunyai alamat pengundi dan ia menyukarkan pihaknya untuk mengenal pasti identiti mereka.
“Keadaan lebih buruk apabila SPR diperkudakan Umno-BN (Barisan Nasional) untuk terus laksanakan pilihan raya kotor dan tidak adil.
“Dalam senarai daftar pemilih sehingga penghujung 2010, SPR telah bekalkan daftar pemilih tanpa alamat pengundi... ini double standard, kita tahu ia hanya untuk Pakatan Rakyat.
“Ini amat mengejutkan, kita diminta dibayar untuk dapatkan daftar pemilih induk tapi ia tidak mempunyai alamat yang lengkap,” kata Azmin pada sidang media di sini.
Tegas beliau, ia satu cara Umno-BN untuk menyekat PKR mendekati pengundi kerana bimbang akan tewas pada pilihan raya umum ke-13.
“Ada beberapa nama diberikan alamat tapi lebih 90 peratus tiada alamat (dalam daftar pemilih) yang dibekalkan SPR yang perlu dibeli parti-parti politik.
“Kita dapat hidu ini usaha Umno-BN untuk bawa pengundi hantu, saya percaya daftar pemilih ini hanya untuk Pakatan Rakyat sebab seorang pegawai SPR memberitahu ia adalah arahan baru agar daftar pemilih tidak dibekalkan dengan alamat,” katanya.
Azmin, Ahli Parlimen Gombak juga kesal dengan sikap SPR yang menjalankan “perniagaan” dengan menjual daftar pemilih kepada parti-parti politik.
“Kita sentiasa diminta untuk membayar dengan jumlah yang besar untuk dapatkan daftar pemilih, mengapa SPR jalankan perniagaan ini, sepatutnya ia adalah tanggungjawab dan ia sepatutnya diberikan secara percuma.
“Kita beli daftar pemilih dengan harga yang tinggi, beli ikut negeri... apa yang kita dapat tidak lengkap dan saya tidak puas hati apabila SPR menjalankan perniagaan ini,” katanya.
Pada sidang media itu juga Azmin mengumumkan parti itu akan mengadakan satu konvensyen pilihan raya kebangsaan PKR 19 Jun ini di Pusat Konvensyen Shah Alam sebagai langkah persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13, yang dijangka tahun depan.
Selain itu, kata Azmin, tema “Demi Rakyat” akan menjadi kempen pilihan raya parti itu.
“Kita jangkakan 2.000 perwakilan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak akan menyertai konvensyen yang julung kali diadakan parti politik.
“Kita juga telah melancarkan laman web untuk rakyat di www.demirakyat.org yang bermula hari ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan