Sabtu, 18 Jun 2011

Bersih 2.0 sambut baik pendirian Pemuda Umno berhimpun 9 Julai


KUALA LUMPUR — Pengerusi badan pemantau pilihan raya bebas Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan mengalu-alukan pendirian Pemuda Umno yang turut memutuskan untuk mengadakan perhimpunan berkaitan pilihan raya bebas di negara pada hari yang sama dengan Himpunan Bersih 2.0, 9 Julai ini.

Pemuda Umno mengambil keputusan itu kelmarin, tetapi tidak akan menyertai pendekatan Bersih 2.0.

Perkasa dengan sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan yang sealiran dengannya membantah Himpunan Bersih 2.0.

Ambiga menyifatkan pendirian Pemuda Umno itu menunjukkan bahawa amalan demokrasi semakin berkembang di Malaysia.

“Sesuatu melegakan apabila membaca komen (Ketua Pemuda Umno) Khairy Jamaluddin yang sedar bahawa hak untuk berhimpun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Ambiga kepada The Malaysian Insider.

Ambiga, seorang peguam berkata, beliau menyokong pendirian Khairy meskipun kedua-dua mereka berbeza pandangan.

Bekas pengerusi Majlis Peguam itu menekankan bahawa beliau menyokong kerana Khairy juga mahukan hak berhimpun secara aman dan tanpa kekerasan, dan “hak yang sama kami amalkan.”

Semalam, Khairy yang menggantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk menerajui Pemuda Umno sejak 2009, menegaskan pihaknya tidak bimbang dengan amaran Menteri Dalam Negeri itu bahawa mereka akan berhadapan dengan risiko jika meneruskan keputusan mahu mengadakan perhimpunan pada 9 Julai tanpa permit polis.

Tegas Khairy, Hishammuddin boleh mengatakan apa saja yang beliau mahukan tetapi Pemuda akan meneruskan hasrat mengadakan perhimpunan.

Tiada ulasan: