Rabu, 22 Jun 2011

Beng Hock: Suruhanjaya serah Agong laporan 124 halaman

TERKINI

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Diraya Siasatan menyiasat punca kematian bekas setiausaha politik pemimpin DAP, Teoh Beng Hock telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pagi ini.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya yang juga Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen, laporan setebal 124 muka surat itu telah diserahkan pada pukul 10.30 pagi di Istana Negara.

“Sekarang terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong sama ada mahu dedahkan kepada umum atau tidak, tugas kami hanya menjalankan tugas dan serahkan laporan ini kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini. Tambah James, laporan sama akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak petang ini.

Beliau juga berkata keputusan suruhanjaya itu dibuat secara sebulat suara bersama ahli panel yang lain.

Selain Foong, suruhanjaya turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk TS Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Teoh, 30, setiausaha politik Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14 bangunan berkenaan.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Najib pada 26 Januari lalu, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.

Sepanjang persidangan, pelbagai saksi dipanggil termasuk pakar patologi, psikiatri, anggota keluarga dan pegawai SPRM selain terdapat beberapa fakta baru yang tidak didedahkan pada inkues mengenai kematiannya di Mahkamah Koroner Shah Alam sebelum ini.

Ditanya sama ada Yang di-Pertuan Agong berpuas hati dengan laporan itu, James berkata “adalah lebih baik Yang di-Pertuan Agong membaca dulu laporan itu.”

“Bagi kami, berpuas hati kerana dapat sempurnakan tugas yang telah diberikan, kami hanya diarah menyerahkan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Adalah tidak adil untuk katakan Yang di-Pertuan Agong berpuas hati atau tidak, beri masa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membaca laporan itu,” katanya.

Seramai 70 saksi yang dipanggil sejak suruhanjaya itu memulakan prosiding pada 14 Februari lalu dan tamat pada 18 Mei.

Selain itu, 19,200 bahan bukti telah dikemukakan sepanjang prosiding itu berjalan.

Tiada ulasan: