Jumaat, 24 Jun 2011

Anwar tetap nafi pelaku dalam video seks

Hafiz Yatim

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kesekian kalinya bertegas bahawa beliau bukanlah pelaku dalam video seks yang membawa trio Datuk T ke mahkamah hari ini.

Bagaimanapun Anwar tidak menolak kemungkinan bahawa beliau mungkin akan turut diheret ke mahkamah kerana membuat laporan polis palsu.

"Tapi sebab mereka ini, apa sekalipun mustahil (berlaku). Mereka boleh tutup kes Altantuya (Shaariibuu), mereka boleh tutup kes bunuh dan kes rogol dan apa saja.

"Kita akan tanganinya. Kita akan persiapkan (pasukan) pembelaan kita," kata ahli parlimen Permatang Pauh itu lagi.

Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan beliau akan didakwa keranamembuat laporan polis palsu memandangkan pendakwaan dalam kes Datuk T hari ini mendedahkan bahawa pelaku dalam video seks berkenaan mirip dirinya.

Katanya lagi, beliau telah menjangkakan bahawa ketiga-tiga individu berkenaan akan dikenakan hukuman ringan kerana salah seorang daripada mereka – Tan Sri Rahim Thamby Chik telahpun mengadakan pertemuan dengan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Saya telah menjangkakan mereka akan guna mahkamah untuk melemparkan fitnah ke atas saya dan mereka akan dilepaskan dengan hukuman ringan.

"Semua ini telahpun dirancang terlebih dahulu dengan (peguam negara, Tan Sri) Abdul Gani (Patail) di belakangnya dan kita ada (peguam) hebat (Datuk Muhammad) Shafee Abdullah," katanya lagi dengan sinis.

Tiada ulasan: