Selasa, 7 Jun 2011

Anwar: Propaganda Umno takutkan umat Islam, cetus prasangka agama

THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR — Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi bahawa Pakatan Rakyat terus komited untuk mempertahankan prinsip keluhuran hidup yang diperuntukkan oleh Perlembagaan sambil menegaskan, Umno dan medianya mencuba menggugat keamanan antara penganut pelbagai agama.

“Mutakhir ini, ada pimpinan Umno dan media yang dimilikinya mencuba menggugat keamanan antara penganut agama di Malaysia dengan retorika perkauman sempit yang tajam, dangkal dan tidak berasaskan prinsip keadilan sebagaimana dianjurkan Islam.

“Upaya mereka semata-mata mahu menakut-menakutkan umat Islam serta menimbulkan prasangka antara kita,” kata Ketua Umum Pakatan Rakyat ini.

Sehubungan itu tegas beliau, pihaknya juga kesal dengan retorika dan propaganda pimpinan Umno dan media yang dimilikinya hanya membantutkan usaha kenal-mengenali masyarkat yang berbeza kepercayaan dan budaya.

“Dengan nada yang sama, maka kami juga ingin menyanggah kecenderungan sebahagian yang menyarankan faham melampau di kalangan penganut agama mereka tanpa menghiraukan sensitiviti umat Islam di negara ini.

“Maka, kepada wakil-wakil badan Islam serta agama Buddha, Kristian, Hindu dan lainnya, kami ingin mengulangi komitmen mempertahankan prinsip keluhuran hidup beragama yang termaktub dalam Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan malam tadi.

Malam tadi, PKR dengan diketuai Anwar (gambar) telah mengadakan pertemuan dengan kepimpinan majlis agama yang diketuai Rev Dr Thomas Phillips.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, pihaknya menyedari agama Islam mempunyai kedudukan unik di negara ini dan rantau Asia Tenggara.

“Peranan mubaligh yang menerapkan pesan Islam secara aman dan berperingkat telah berupaya membentuk ‘weltanschauung’ umat Islam yang terbuka dan toleran terhadap kemajmukan budaya.

“Islam juga telah berperanan merungkai minda umat Melayu yang sebelumnya berasaskan mitos serta tahyul kepada pemikiran rasional yang sejajar pula dengan pesan-pesan al-Quran,” katanya lagi.

Ketua Pembangkang itu menambah, Islam merupakan agama yang menjunjung prinsip keadilan, cintakan keamanan, menghormati hak penganutnya dan juga hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan mereka.

“Prinsip utama syariah yang dikenali sebagai maqasid syariah merumuskan bahawa adalah satu keutamaan untuk melindungi agama, nyawa, keturunan, aqal, harta dan maruah,” katanya.

Oleh itu kata beliau, berteraskan kefahaman Islam yang tepat, penghayatan agama yang tuntas oleh umat Islam perlu untuk memastikan cara hidup yang berintegriti.

“Umat Islam yang mahu memenuhi maksud ihsan dan keadilan sebagaimana yang sering dianjurkan pastinya menolak penindasan, rasuah serta segala bentuk penyelewengan.

“Oleh itu tidak hairanlah ramai dari kalangan umat Islam kesal dengan sikap pimpinan Umno serta media kongkongannya yang tidak konsisten dalam penghayatan agamanya,” katanya sambil menambah, “apatah lagi rasuah dan penyelewengan kuasa masih berleluasa.”

Tiada ulasan: