Ahad, 19 Jun 2011

9 Julai penentu akhir tarikh PRU-13

M Faqih


HALAMAN Masjid Negara penuh sesak dengan lautan manusia. Fenomena itu masih diingati ramai. Ia berlaku pada tanggal 20 September 1998.

Rentetan peristiwa bermula selepas Dato’ Seri Anwar Ibrahim disingkir dengan cara mengaibkan. Orang Melayu bangkit menjadikan jalan raya dan tempat awam sebagai medan.

Ribuan anak muda Melayu mulai mengenal erti reformasi. Kejayaan rakan mahasiswa di Indonesia menyingkirkan rejim Suharto turut merebak ke Malaysia.

Ini bermakna perhimpunan ratusan ribu rakyat sudah lama berlaku di nusantara. Ia jauh lebih awal berbanding apa yang berlaku di wilayah Arab tahun ini.

Demontrasi bermula di Tunisia pada Januari lalu. Selepas itu merebak ke Dataran Tahrir di Kaherah. Babak demonstrasi di Tunisia dimulakan seorang anak muda.

Penjual sayur, Mohamed Bouazizi, 26 graduan sains komputer mencetus kebangkitan rakyat.

Kisahnya malangnya berlaku pada 17 Disember lalu. Barangan jualan disita polis di Kota Sidi Bouzid. Baouzizi memprotes, akhirnya kecewa dan membakar diri. Bouazizi meninggal pada 4 Januari 2011.

Peristiwa itu berjaya membakar amarah rakyat Tunisia. Kesannya Presiden Zine El Abidine Ben Ali terpaksa melarikan diri. Di Kaherah pula pada 3 Febuari pasukan bersenjata menembak penunjuk perasaan. Pada awalnya enam terbunuh dan lebih 800 cedera.

Setelah jumlah korban bertambah akhirnya Presiden Hosni Mubarak, 82 tinggalkan jawatan. Bantahan awal di Mesir juga dimulakan seorang lelaki. Dia menggunakan senjata facebook.

Dan selepas itu saki baki gerakan rakyat menular ke Libya dan negara Asia Barat lain. Yaman dan Syria masih berdepan dengan gelodak rakyat sehingga sekarang.

Semuanya itu berlaku sebagai usaha akhir bagi mengembalikan hak rakyat. Inilah yang dinamakan politik baru. Ia mulai muncul di negara-negara umat Islam.

Di negara umat Islam ruang demokrasi tidak mampu menggoncang pemerintah yang ada. Malah pilihan raya hanya menguatkan posisi kerajaan.

Akhirnya rakyat memilih jalan raya bagi meluahkan perasaan. Inilah yang berlaku di mana-mana negara umat Islam sekarang. Kejayaan demontrasi rakyat di negara Arab lebih hebat kerana dibayar nyawa dan harta benda.

Berlainan demontrasi jalanan dicetus di Indonesia dan Malaysia pada 1998. Tiada angka korban kecuali dikurung sementara di sel besi dan merasai pedih water canon.

PAS jadi ketua

Kejayaan demontrasi 1998 membolehkan 45 anggota parlimen Barisan Alternatif memasuki parlimen pada pilihan raya umum 1999. PAS menduduki kerusi ketua pembangkang apabila bilangan anggota parlimennya 27 orang.

Dan sekali lagi pada 10 November 2007 himpunan puluhan ribu rakyat menghantar isyarat awal buat kerajaan BN. Ia dikenali himpunan menuntut pilihan raya adil dan bersih (Bersih).

Kesannya dirasai setahun kemudian. Pada 2008 Pakatan Rakyat berjaya menafikan kuasa dua pertiga kerajaan BN. Kejayaan pembangkang pada pilihan raya 1969 berulang semula pada 2008.

Cuma terbaliknya demontrasi diadakan pada 1969 selepas pilihan raya berlangsung. DAP meraikan kejayaan sehingga mencetus peristiwa 13 Mei.

Petunjuk jumlah peserta yang hadir dalam mana-mana demontrasi mampu menterjemahkan kekuatan sebenar kerajaan atau pembangkang.

Itulah yang berlaku pada 1999 dan 2008. Begitu juga pada 1977 di Kota Bharu. Demontrasi jalanan 1977 menolak kepimpinan Dato’ Mohamad Nasir memecahkan PAS dari dalam.

Maka bertitik tolak daripada pengalaman tersebut kerajaan BN cuba menghalang perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Sasaran Bersih 2.0 menghimpunkan lebih 500,000 rakyat. Mereka dijadual berarak ke Istana Negara bagi menuntut reformasi pilihan raya.

Berakar umbi kejayaan pembangkang menganjur demontrasi, maka pihak lain juga menggunakan medan sama bagi meluahkan perasaan.

Banyak NGO sekarang menggunakan medan serupa. Baru-baru ini Persatuan Perniagaan Kenderaan Negeri Melaka berhimpun bagi menyatakan tidak senang dasar baru kerajaan.

Mereka meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengkaji semula pindaan Akta Sewa Beli 1967 yang berkuatkuasa Jun ini.

NGO terbabit mendakwa peraturan baru digubal mendatangkan kesan terhadap pengguna dan juga industri penjualan kenderaan.

Naib Presidennya, Raymond Choo mendakwa akta berkenaan mengakibatkan pengguna terpaksa menanggung kos lebih tinggi. Lebih 100 pengusaha kenderaan terpakai dilapor berhimpun menbantah pindaan akta tersebut. Sebelum itu perhimpunan serupa juga berlaku di ibu negara.

Himpunan jalanan jadi pilihan

Perhimpunan aman lain juga dianjur pengusaha bot laut dalam. Kira-kira 500 nelayan dan pengusaha bot tunda berkumpul di kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di Kuantan menuntut kerajaan mengembalikan subsidi super yang dinikmati mereka sebelum ini.

Puncanya nelayan laut dalam tidak lagi mendapat bekalan minyak pada harga super subsidi iaitu RM1.25 seliter. Sekarang mereka kena beli diesel pada harga RM1.80 sen.

Ekoran tindakan mogok nelayan laut dalam menyebabkan harga ikan dan makanan laut naik kira-kira 30 peratus. Bagi menyelesaikan kemelut tersebut menteri berkaitan pada awalnya mengugut mahu menarik balik lesen nelayan di zon A, B dan C.

Namun kemudian berlembut setelah nelayan tidak berganjak. Demontrasi ada kalanya membuah hasilnya.

Ternyata hari ini bukan sekadar parti politik berhimpun membantah ketidakadilan kerajaan, sebaliknya NGO dan pihak lain mengambil langkah serupa.

Ini kerana perhimpunan dianjur mampu mengubah sikap kerajaan. Buktinya perhimpunan membantah cadangan kerajaan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menyebabkan ia ditangguh sehingga sekarang.

Maka menumpang kejayaan perhimpunan rakyat, kerajaan juga baru-baru ini menganjurkan perhimpunan sejuta belia di Putrajaya.

Biar pun nawaitunya berlainan, namun perhimpunan aman juga menjadi pilihan. Perhimpunan anjuran kerajaan hanya sekadar mahu hiburkan anak muda. Berbeza jauh berbanding perhimpunan dianjurkan pembangkang dan NGO. Mesejnya lebih jelas.

Cuma Dato’ Seri Najib Razak tiba-tiba tersasul memperalatkan perhimpunan sejuta belia anjuran kerajaan dengan mengajak anak muda mempertahan Putrajaya.

Sebelum ini Umno dan BN juga pernah menganjurkan perhimpunan yang dikenali Juara Rakyat. Program itu hanya mampu bertahan seketika.

Juara Rakyat atau apa sahaja perhimpunan yang dianjur Umno dan kerajaan tidak lebih sekadar menghimpunkan kakitangan awam. Lebih kurang sama seperti perhimpunan bulanan penjawat awam.

Contohnya pelancaran Gelombang Merah di Pasir Puteh, Kelantan April lalu mengerah semua guru di jajahan itu hadir. Pernah juga kedatangan Perdana Menteri ke Kelantan di era Tun Dr Mahathir Mohamed mewajibkan guru yang hadir menandatangani kedatangan.

Itulah taktik yang mungkin berulang 2 Julai ini. Najib sekali lagi dijangka datang ke Kelantan. Hasrat Umno mahu menghimpunkan 30,000 rakyat. Realiti itu boleh berlaku apabila semua guru dan kakitangan persekutuan dikerah datang. Kalau berjaya mungkin Perdana Menteri senang hati mengisytiharkan pilihan raya umum ke-13 November nanti.

Ketika itu bajet 2012 sudah dibentang dan perhimpunan agung Umno baru selesai.

Namun ilham PRU-13 Perdana Menteri boleh tersentak, sekiranya Himpunan Bersih 2.0 melepasi sasaran.

Tiada ulasan: