Sabtu, 4 Jun 2011

33,880 helai sejadah berharga RM1 juta


KUALA TERENGGANU - Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu dibawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said didedahkan telah membeli sebanyak 33,880 unit sejadah bernilai hampir RM1 juta.

Malangnya, kesemua sejadah-sejadah tersebut tidak diagihkan ke masjid-masjid atau surau tetapi masih tersimpan di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, sejak beberapa bulan lalu.

(Gambar - Sejadah dikatakan disimpan di Stadium tertutup Gong Badak)

Hal tersebut, didedahkan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu dalam jawapan bertulis yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undnagan Negeri (Adun) Sura, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli.

Soalan asalnya, berapa banyakkah sejadah untuk kegunaan umat Islam menunaikan solat yang dibeli oleh kerajaan negeri dan sila nyatakan syarikat pembekalnya serta berapakah kos pembiayaan yang ditanggung kerajaan negeri Terengganu.

Menjawab soalan tersebut, pihak kerajaan menjelaskan jumlah sejadah untuk kegunaan umat Islam menunaikan solat yang telah dibeli oleh kerajaan negeri ialah 33,880 unit.

Manakala, syarikat yang membekalkan sejadah tersebut adalah BIBI HAWA & SONS yang beralamat di No.33, Aked MARA, Jalan Danby, 14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang dengan kos sebanyak RM999,460.00.

Kerajaan negeri turut menjelaskan bahawa sejadah tersebut masih lagi disimpan di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu sementara menunggu untuk diagihkan kepada masjid-masjid seluruh negeri ini.

Sementara itu, Ustaz Wan Hassan melahirkan rasa dukacita kerana jumlah sejadah yang banyak telah dibeli tetapi tidak diagihkan ke masjid-masjid atau surau.

Bahkan, beliau turut sangsi dengan jawapan tersebut kerana hampir keseluruhan masjid-masjid yang terdapat di Terengganu telah berkarpet.

“Kita (PAS) rasa dukacita kenapa sejadah yang telah dibeli begitu banyak tetapi tidak diagihkan lagi ke masjid-masjid atau surau di seluruh negeri ini.

“Saya rasa sangsi dengan jumlah sejadah yang banyak dengan kos hampir RM1 juta dibelanjakan oleh kerajaan. Hampir semua masjid di Terengganu dipasang dengan karpet yang tidak lagi menggunakan sejadah,” ujarnya.

Tiada ulasan: