Isnin, 18 April 2011

Umno Kedah arah mesyuarat bahagian fokus hadapi PRU13

THE MALAYSIAN INSIDER

ALOR SETAR – Semua Umno bahagian di Kedah diarah memberi tumpuan memantapkan parti ke arah menghadapi pilihan raya umum ke-13 dalam mesyuaratnya bermula 14 Mei ini dan berakhir 15 Jun.

Sehubungan itu, Badan Perhubungan Umno Kedah akan memantau semua mesyuarat terutama bahagian yang berkemungkinan berlaku kekecohan, kata Pengerusinya Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau berkata perkembangan terkini dalam Umno Kedah amat positif dan yakin mesyuarat bahagian termasuk Pemuda, Wanita dan Puteri berjalan lancar.

“Masa semakin suntuk. Perkara yang boleh menggagalkan segala usaha kita memulihkan parti dan memenangi hati rakyat harus dibiarkan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat badan itu hari ini.

Dipetik Bernama Online, Ahmad Bashah berkata peraturan baru mesyuarat yang diluluskan akan melihat bilangan perwakilan ke mesyuarat kali ini bertambah sekali ganda.

Mengenai pengundi baru, beliau berkata seramai 4,500 orang golongan muda mewakili semua 15 bahagian di Kedah mula diberi kursus secara berperingkat.

“Mereka merupakan barisan hadapan untuk menarik pengundi baru dan golongan muda. Kita sediakan mereka dengan kekuatan mental dan rohani untuk menghadapi serangan lawan,” katanya.

Mengikut jadual Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden Umno bakal merasmikan mesyuarat Umno bahagian Baling pada sebelah pagi dan Padang Terap sebelah petang pada 20 Mei ini manakala Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merasmikan mesyuarat bahagian yang pertama, bahagian Pokok Sena pada 14 Mei.

Tiada ulasan: