Selasa, 26 April 2011

Umno Hanya Tahu Melaga-lagakan Pakatan Rakyat

Ditulis oleh Ayie


KUALA LUMPUR : Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada media proksi Umno-Barisan Nasional (BN) supaya tidak menganggu-gugat kesepakatan yang terjalin antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Justeru katanya, tindakan melaga-lagakan kenyataan pemimpin PKR dan PAS menerusi laporan media arus perdana tiga hari lalu sebagai lumrah permainan politik Umno-BN dalam usaha untuk memecah-belahkan gagasan itu.

Anwar yang ditemui media di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berkata, pendirian Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapha Ali berhubung siasatan rakaman video seks 22 April tidak harus dimanipulasi media.

Jelasnya, Mustapha hanya memberi pandangan dari sudut syariah selain menyerahkan siasatan kepada polis tanpa berpihak kepada mana-mana individu mahupun Ketua Pembangkang itu sendiri.

Namun kesempatan itu diambil oleh akhbar Utusan Malaysia untuk menimbulkan ketegangan di kalangan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menerusi laporan berbaur fitnah.

" Umno cuba untuk laga-lagakan. Datuk Mustapha Ali hanya mengatakan dari segi syariah kes ini tidak dapat dipertahankan tapi kalau polis siasat tunggu sahaja itu maksud kenyataan dia," kata Anwar.

Anwar seterusnya menyifatkan Umno-BN tidak mempunyai kepentingan untuk dipertahankan sebaliknya menunggu peluang untuk mencemar imej parti perikatan itu.

" Yang Umno nak sibuk lagakan buat apa. Kerja Umno dia tidak dapat pertahankan kekuatan dia, dia hanya boleh bantu melagakan dan lucah," ujar beliau lagi.

Memetik laporan Utusan Malaysia 23 April lalu, portal itu melaporkan bahawa Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali marah selepas mendapati komen oleh Mustapha mengenai pelaku rakaman video seks itu tidak menyebelahi pendirian Pakatan Rakyat dan Anwar sendiri.

Mustapha kemudiannya menafikan kenyataan bahawa PAS bersedia untuk menilai semula kedudukan dalam pakatan pembangkang.

Tiada ulasan: