Sabtu, 16 April 2011

UIA Juarai Tilawah Al- Quran Peringkat Negeri Selangor 2011

TVS NEWS


BANTING : Guru Tilawah al-Quran dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) malam tadi muncul juara qari pada Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Selangor 2011 manakala juara qariah dirangkul oleh penuntut Universiti Malaya (UM).

Abdul Khair Jalil, 32, yang mewakili daerah Klang berkata beliau tidak menyangka muncul juara pada penyertaan kali pertamanya dalam tilawah peringkat negeri, tahun ini.

Manakala juara qariah pula Nor Faizah Panut, 22, yang mewakili daerah Hulu Langat berkata kejuaraan kali ini merupakan kejuaraan ketiga buatnya sejak mula menyertai pertandingan ini pada tahun 2007 ketika berusia 18 tahun.

Penuntut tahun kedua jurusan Syariah Ekonomi UM itu pernah menjadi johan qariah Selangor pada tahun 2008 dan 2009.

Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000, piala iringan,sepersalinan pakaian, hadiah mengerjakan umrah dan sijil penyertaan pada Majlis Penutup Tilawah Peringkat Negeri di Masjid As-Solehin di Kampung Kanchong Darat di sini malam tadi.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang mewakili ayahandanya Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menutup majlis tilawah itu yang berlangsung di sini sejak Isnin lepas.

Seramai sembilan qari dan sembilan qariah dari sembilan daerah di Selangor bertanding pada kali ini selain seorang juara menunggu Nur Ruzana Natiah Jaafar.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohammed Khusrin Munawi dalam ucapannya berkata johan qari dan qariah yang diumumkan malam ini akan mewakili Selangor di Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan di Kuching, Sarawak pada 11 hingga15 Jun ini.

Bagi kategori qari tempat kedua dimenangi oleh Muhammad Hafiz Mohamad Foizidari Hulu Langat dan tempat ketiga dibolot oleh Mohamad Mustafa Ali dari Hulu Selangor.

Untuk kategori qariah pula tempat kedua dimenangi oleh juara menunggu NorRuzana sementara tempat ketiga diraih oleh Jaliah Simin dari Kuala Langat.

Tiada ulasan: