Jumaat, 1 April 2011

Penjenamaan Semula Unisel Angkat Martabat Universiti Tempatan

TVS NEWS


SHAH ALAM : Penjenamaan semula Universiti Selangor (Unisel) adalah bertujuan untuk mencapai taraf antarabangsa, bukan hanya setakat ‘universiti kampung' sahaja, menurut Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali.

Menurut Halimah, ia bukan sekadar pertukaran nama sahaja tetapi untuk memastikan visi dan misinya yang jauh berbanding Unisel ketika dikuasai pimpinan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN).

Katanya, universiti itu menjadi pemangkin kemajuan intelek, ekonomi, dan sosial yang bersifat madani, bukan terhad pada pembangunan industri semata-mata.

“Kita perlu melahirkan insan dinamik dan berjiwa besar. Penjenamaan semula perlu untuk menjana idea dan pembaharuan,kata Halimah.

Beliau menjawab soalan bertulis dari Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram, Amiruddin Setro pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Kenyataan Halimah tersebut mendatangkan perdebatan kecil mengenai hala tuju Universiti milik kerajaan negeri itu.

Halimah mempertahankan bahawa penjenamaan semula adalah usaha kerajaan Selangor dalam memastikan imej, reputasi dan peranan Unisel yang baru difahami.

Menurut beliau berkata, Unisel sudah diberi lesen untuk mengadakan kursus lebih serius seperti kejururawatan dan perubatan.

"Bila ditukar dan digugurkan istilah industri tak bermakna tak beri perhatian kepad industri. Adakah ia menjatuhkan darjah. Tidak semestinya. Harvard tidak perlu perkataan Industri. Unisel tak perlu terkongkong lagi dengan industri. Unisel baru dapat permit untuk kejururawatan," kata Halimah.

Menurut Halimah lagi, Unisel telahpun berjaya menjalinkan usahasama dengan universiti antarabangsa bagi memantapkan pengurusan dan akademik pusat ilmu itu walaupun di bawah kongkongan kerajaan Pusat.

"Kita juga jalinkan hubungan dengan universiti antarabangsa seperti Universiti Manchester Mac lalu dan Universiti Hyderabad. Ini perkara biasa IPTA dan kita bergerak bawah lingkungan sekatan Kementerian Pengajian Tinggi," kata Halimah lagi.

Tiada ulasan: