Jumaat, 22 April 2011

PAS Selangor: Tiada arahan calon Hadi sahaja

Jika ada orang kata kita tidak benarkan Hadi dicabar, ia tidak benar sama sekali - Roslan Shahir.



PETALING JAYA: PAS Selangor tidak mengeluarkan sebarang arahan supaya kawasan-kawasan yang sedang mengadakan mesyuarat agung masing-masing hanya mencalonkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk jawatan presiden PAS pada Muktamar Jun ini.

“Jika ada orang kata kita tidak benarkan Abdul Hadi dicabar, ia tidak benar sama sekali. Persoalannya, adakah kawasan di Selangor yang mahu mencalonkan orang lain selain Abdul Hadi?,” soal Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir.

Beliau menambah, PAS negeri tidak mencampuri urusan mesyuarat PAS kawasan tetapi pertandingan apa-apa jawatan dalam parti hendaklah berpandukan kepada adab dan disiplin parti.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan PAS Bukit Bintang yang mencalonkan Datuk Husam Musa mencabar Abdul Hadi untuk jawatan presiden.

Bagaimanapun, Husam yang bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PAS dalam pemilihan lalu mengumumkan hanya akan bertanding sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Menurut Roslan Shahir, sehingga hari ini sebahagian besar kawasan PAS di Selangor telah mengadakan mesyuarat agung masing- masing.


“Setahu saya PAS Kawasan Hulu Selangor, Kuala Langat, Kelang, Sepang, Kapar dan Serdang telah mengadakan mesyuarat masing- masing manakala yang lain diberi peluang sehingga akhir bulan ini,” katanya.

Pada Muktamar di Shah Alam dua tahun lalu, Abdul Hadi menang tanpa bertanding jawatan presiden yang disandangnya sejak 2003.

Beberapa jawatan lain termasuk timbalan presiden dijangka menyaksikan pertandingan sengit dengan bekas naib presiden, Mohamad Sabu mengesahkan akan bertanding.

Penyandang, Nasharuddin Mat Isa bagaimanapun, belum membuat keputusan sama ada bertanding atau tidak.

Muktamar Tahunan Pemilihan PAS kali ini akan diadakan di Taman Melewar, Gombak, dekat Kuala Lumpur Jun depan.

Tiada ulasan: