“Saya agak parti-parti lain tangguh pemilihan kerana ia akan memecahbelahkan parti mereka kerana kempen yang terlalu hebat, tapi PAS yakin PAS ada budayanya sendiri,” kata Setiausaha Agungnnya Datuk Mustafa Ali pada sidang media hari ini.
Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk Umno telah menangguhkan pemilihan parti masing-masing sehingga tahun depan ekoran desas-desus bahawa pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tahun ini.
Spekulasi mengatakan bahawa ia kemungkinan diadakan Jun atau Julai ini ataupun penghujung tahun.
“Walaupun ada pertandingan, ia tidak akan merosakkan perpaduan dalam parti melainkan pilihan raya umum diadakan pada Jun barulah kita fikir kembali, tetapi saya tidak fikir ia akan diadakan pada Jun,” kata beliau dipetik Bernama Online.
PAS akan mengadakan pemilihan parti itu pada Muktamar Tahunan ke-57 di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Taman Melewar, Gombak pada 3 hingga 5 Jun ini.
Mustafa berkata pencalonan untuk semua jawatan termasuk presiden, timbalan presiden, naib presiden dan anggota jawatankuasa PAS pusat sudah bermula.
Tarikh akhir bagi mengemukakan pencalonan adalah 15 Mei.
“Semua pencalonan akan dimasukkan dalam peti simpanan. Calon akan diberitahu berapa pencalonan yang dia dapat sebaik sahaja peti simpanan itu dibuka pada tarikh itu,” katanya.
Mustafa berkata Jawatankuasa Pemilih akan menghantar surat tawaran bertanding kepada calon-calon dan mereka menjawabnya dalam masa 11 hari iaitu dari 15 hingga 26 Mei.
“Jawatankuasa Pemilih memutuskan bahawa calon yang berhasrat menawarkan diri untuk bertanding mesti menjawab surat tawaran itu, yang tidak dijawab kita anggap mereka tidak ada kesungguhan untuk bertanding.
“Calon-calon akan menilai sama ada mereka hendak terima pencalonan atau menolak pencalonan itu,” katanya sambil memberitahu bahawa kira-kira 1,100 perwakilan dari 179 kawasan akan menghadiri muktamar itu.
Beliau berkata calon yang berhasrat untuk bertanding pada pemilihan itu masih mempunyai peluang untuk menarik diri sebelum kertas undi dicetak pada 26 Mei.
Mustafa, yang tidak berhasrat bertanding sebarang jawatan, berkata isu pilihan raya umum ke-13 mungkin akan menjadi antara intipati ucapan dasar Presiden pada muktamar tiga hari itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan