Khamis, 21 April 2011

NGO sivil dakwa ancaman Pembela canggah Perlembagaan



Kumpulan sivil bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya petang ini. – Foto oleh Jack Ooi
KUALA LUMPUR – Sekumpulan pertubuhan sivil hari ini kesal dengan kenyataan Pembela, pertubuhan badan bukan kerajaan, yang meminta pemimpin-pemimpin Muslim bersatu menentang pelampau Kristian.

Pembela, ikatan pertubuhan-pertubuan Islam, mengadakan protes di pekarangan Masjid Negara Jumaat lalu berhubung keputusan Putrajaya melepaskan kitab Injil versi Bahasa Malaysia atau Alkitab dan mengisytiharkan sedia bermandikan darah terhadap pelampau Kristian yang menghina dan memperkecilkan kedudukan Islam.

Pertubuhan sivil itu hari ini menggesa pihak polis menyiasat ugutan itu demi melindungi hak dan kebebasan setiap rakyat tanpa mengira agama dan kepercayaan.

“Kenyataan sedemikian bertentangan dengan Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan. Kami percaya bahawa pandangan sedemikian tidak mewakili sentimen majoriti masyarakat Muslim di Malaysia yang cintakan keamanan,” kata jurucakapnya Elaine Teh.

Teh juga berkata, berita mengenai demonstrasi itu mendapat perhatian masyarakat antarabangsa termasuk disiarkan oleh akhbar Amerika Syarikat, USA Today.

“Kami mengambil berat kenyataan-kenyataan sebagaimana dilaporkan oleh The Malaysian Insider, yang kelihatan seolah-olah memberi amaran dan ancaman kepada rakyat Malaysia yang lain.

“Kami juga sedih dengan perkembangan ini dan menggesa rakyat Malaysia tidak memprovokasi atau menghasut rasa benci dan tindakan ganas ke atas rakyat Malaysia yang berlainan kaum,” katanya.

Kumpulan sivil itu terdiri daripada All Women’s Action Society Malaysia (Awam), Majlis Gereja Pemuda Malaysia (CCM Youth), Jawatankuasa Hak Asasi Sivil Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor, Islamic Renaissance Front (IRF), Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema), Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower) dan Suara Rakyat Malaysia.

Terdahulu laporan polis terhadap Pembela dibuat oleh Annou Xavier di ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya.

Tiada ulasan: