Sabtu, 23 April 2011

MIC dijangka terima semula tiga pemimpin GAS cabar Samy



KUALA LUMPUR— Datuk G Palanivel dijangka akan menerima semula tiga pemimpin pusat MIC, yang dipecat Datuk Seri S Samy Vellu tahun lalu - langkah yang dilihat presiden parti itu mahu menjauhkan diri daripada pendekatan dan dasar kepimpinan lalu. Ketiga-tiga pemimpin terbabit, Kumar Aamaan dan K.P Samy, masing-masing bekas anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC) dan bekas timbalan ketua Pemuda MIC pusat V Mugilan, yang juga bekas Ketua Pemuda MIC Selangor dan Hulu Selangor, dijangka akan diterima masuk, Sabtu ini.

CWC keempat yang bakal dipengerusikan Palanivel itu bertemu di sini malam ini.

“Mesyuarat Sabtu ini (hari ini) akan mempertimbangkan laporan jawtaankuasa disiplin yang diketuai Tan Sri K.S Nijhar, yang membuat syor berdasarkan rayuan yang dipertimbangkan,” kata sumber parti itu kepada The Malaysian Insider baru-baru ini.

Ketiga-tiga pemimpin berkenaan mengepalai kempen Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) menggesa pemimpin veteran itu melepaskan jawatan presiden dengan segera, menjelang akhir 2010.

Kempen itu diadakan selepas Samy Vellu, yang kini merupakan duta khas bertaraf menteri, mengumumkan pertengahan tahun lalu bahawa akan melepaskan jawatannya pada suku ketiga 2011.

Bagaimanapun pengumuman presiden MIC paling lama itu dibantah dan siri kempen GAS diadakan. Samy Vellu melepaskan jawatannya pada minggu kedua Disember lalu.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider bahawa jawatankuasa disiplin akan mengesyorkan agar ketiga-tiga mereka boleh diterima balik demi perpaduan parti dan tindakan memecat mereka tahun lalu juga dikatakan tidak sah.

“Rata-rata tiada masalah untuk menerima mereka balik, meskipun ada satu dua anggota CWC yang mungkin akan membantah, tetapi majoriti akan menerima syor menerima balik mereka.

“Lagi pun menerima balik ahli-ahli yang dipecat ketika era Samy Vellu adalah pendekatan baru kepimpinan Palanivel, ini yang Palanivel janjikan kepada kepimpinan BN khususnya Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

K.P Samy, pemimpin MIC dari Klang, telah menghadiri majlis sambutan tahun baru masyarakat India anjuran MIC di Seri Kembangan Jumaat lalu, yang dirasmikan oleh Najib.

K.P Samy ketika dihubungi mengesahkan ada menghadiri majlis itu dan yakin akan diterima oleh kepimpinan Palanivel.

“Saya dijemput hadir, saya hadir atas nama NGO,” katanya.

Beliau dan dua yang lain membuat rayuan awal Januari.

CWC MIC telah menerima balik bekas ketua MIC Petaling Jaya Selatan V Subramaniam atau lebih dikenali sebagai “Barat Maniam”, yang turut dipecat daripada MIC oleh Samy Vellu ahun lalu pada Januari lalu.

“Saya yakin akan diterima, lagi pun saya berpegang bahawa pemecatan saya dan rakan-rakan saya tidak sah,” kata K.P Samy sambil menambah, “berdasarkan janji Palanivel bahawa akan menerima pemimpin-pemimpin dipecat Samy Vellu, kami yakin rayuan kami akan diterima.”

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider awal tahun ini, Palanivel berkata beliau bersedia untuk memaafkan kesemua ahli dan pemimpin MIC yang pernah dipecat bekas presiden MIC dan membuka semula pintu parti komponen BN itu kepada mereka.

Bagaimanapun presiden MIC itu memberi amaran keras kepada bekas ahli-ahli parti terbabit bahawa kesediaan untuk menerima mereka balik bukan petanda beliau seorang pemimpin yang lemah atau mudah terpengaruh.

“Saya tidak mahu musuh. Saya mahu jadi kawan setiap orang,” kata beliau.

Palanivel berkata, beliau sanggup untuk mendengar keluhan dan memenuhi keperluan mereka, tetapi memberi amaran agar tidak mempersalahkan parti atas pemecatan mereka.

Selain tiga pemimpin itu MIC juga akan menerima beberapa ahli parti yang turut dipecat sebelum ini.

Tiada ulasan: