Khamis, 21 April 2011

MCA: Tidak adil Utusan hukum pengundi Cina Sarawak


SUBANG JAYA– MCA menolak andaian Utusan Malaysia bahawa kaum Cina di Sarawak mengundi mengikut sentimen kaum, sebaliknya menegaskan ia adalah aliran sokongan pengundi-pengundi bandar yang memberi sokongan kuat kepada pembangkang khususnya DAP, Sabtu lalu.

Sehubungan itu menurut Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai (gambar), pilihan raya negeri Sabtu lalu juga menunjukkan pengundi-pengundi bandar, yang kebanyakannya masyarakat Cina, nampaknya mempunyai keperluan berbeza, yang turut menggambarkan Barisan Nasional (BN) “perlahan” dalam memenuhinya.

“Utusan tidak boleh membuat generalisasi sebagai keseluruhan keadaan. Ia tiada kaitan dengan (sentimen) kaum... ia berkaitan dengan keperluan bandar dan keperluan luar bandar,” kata Menteri Kesihatan ini tetapi tidak menjelaskan perbezaan keperluan yang dimaksudkan.

Kata beliau, adalah tidak adil untuk “menghukum” pengundi kononnya memberi sokongan mengikut garisan kaum.

Sehubungan itu beliau menggesa akhbar milik Umno itu agar berhenti daripada memainkan isu-isu perkauman yang boleh memecahbelahkan lagi masyarakat pelbagai kaum.

Umno dan MCA merupakan rakan komponen kanan dalam BN bersama MIC.

Beliau juga memberi jaminan BN bekerja keras untuk memenuhi keperluan pengundi-pengundi bandar yang menekankan soal urus tadbir yang baik berbanding isu-isu pembangunan.

“Ada jurang bandar-luar bandar dan kami perlu melihat perkara itu. Sebagai kerajaan kami mesti ambil berat soal kepentingan semua rakyat,” kata Liow lagi.

Akhbar milik Umno, parti teras Barisan Nasional (BN) pada Ahad lalu menggesa perikatan itu supaya tidak terlalu “pemurah” dalam melayan kedudukan masyarakat Cina dalam Kabinet negeri yang bakal dibentuk ekoran keputusan pilihan raya Sarawak.

Mingguan Malaysia, yang diterbitkan oleh Kumpulan Utusan berkata majoriti pengundi Cina memihak kepada kempen Pakatan Rakyat yang membawa seruan “mengubah kerajaan negeri” sedangkan masyarakat Bumiputera tetap teguh bersama BN.

BN Sarawak pimpinan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud memperoleh 55 kerusi manakala Pakatan Rakyat pula 15 dan Bebas satu.

Pada pilihan raya negeri 2006, BN Sarawak memperoleh 62 kerusi dan ia meningkat kepada 63 kemudian.

Walaupun BN memperoleh majoriti lebih dua pertiga tetapi mengalami penurunan kerusi kali ini. Begitu juga undin popular diperoleh BN semalam berbanding lima tahun lalu.

“Keputusan tersebut mempunyai makna yang perlu diterjemahkan oleh kerajaan negeri pimpinan Abdul Taib Mahmud.

“Awang berharap Taib akan menubuhkan Kabinet dengan mengambil kira realiti daripada peti undi. Ternyata, rata-rata pengundi Cina menolak BN dan menyokong DAP,” kata Awang Selamat dalam ruangannya di Mingguan Malaysia.

Dalam ruangannya, Awang Selamat juga berkata kerajaan negeri BN tidak lagi boleh bersikap terlalu pemurah untuk memberikan tempat kepada perwakilan kaum itu.

Kemudian, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa masyarakat Cina Sarawak turut dijangkiti “virus rasisme Cina” yang menjadi prinsip perjuangan DAP, komponen Pakatan Rakyat, yang memperoleh kerusi terbanyak dan menggandakan kawasan dimenangi mereka, kelmarin.

Bekas perdana menteri itu berkata pada masa-masa lalu DAP ditolak sepenuhnya oleh penduduk Sarawak.

Dalam nada sindir, Dr Mahathir menulis, “saya mengucapkan tahniah kepada DAP yang membawa masuk politik rasis ke Sarawak.”

Kecaman ke atas DAP dan pengundi-pengundi Cina berterusan semalam.

Dalam tulisan ruangan Cuit semalam, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan pula berkata, DAP telah berjaya menjadi parti Cina yang telah menyatupadukan orang Cina.

Katanya, hanya kuasa mutlak politik yang belum dikuasai sepenuhnya oleh orang Cina tetapi yang lain “semua sudah.”

“Kini DAP membawa slogan yang cukup hebat di kalangan masyarakat mereka iaitu Undi untuk Ubah, Enough is Enough (Cukuplah) dan Selamatkan Malaysia,” katanya.

Dia berkata slogan itu sebenarnya bukan ditujukan kepada orang lain, tapi khususnya kepada orang Cina.

“Terpapar megah di dada baju penyokong dan calon DAP dalam pilihan raya Sarawak supaya diubah kepimpinan Melayu Malaysia ini,” katanya lagi.

Katanya, pilihan raya umum ke-13 akan digunakan sepenuhnya untuk menyatukan kuasa mereka.

Kata Zaini, “sebaliknya apa yang orang Melayu buat? Tiada apa-apa. Mereka ialah satu bangsa yang cukup selesa, komplesen, alpa dan tidak peduli. Malah pemikiran mereka cukup bercelaru.”

Dia seterusnya berkata, pada pandangannya Umno harus melancarkan gelombang perpaduan bangsa “1Melayu, 1Bumi.”

Tiada ulasan: