Jumaat, 1 April 2011

Lebih 19,000 kes Tibi dikesan tahun lalu

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sebanyak 19,337 kes penyakit batuk kering atau Tuberkulosis (Tibi) dikesan di Malaysia sepanjang tahun lepas, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, berikutan kadar notifikasi kes pada tahun lalu ialah 66.9 bagi setiap 100,000 penduduk negara ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasi Malaysia sebagai negara beban penyakit sederhana.

Justeru, beliau meminta setiap individu supaya peka terhadap tanda-tanda awal penyakit itu seperti batuk, demam, susut berat badan yang ketara dan berpeluh pada waktu malam.

"Mereka yang menghidap kencing manis, perokok dan mengambil alkohol secara berlebihan pula mempunyai risiko yang tinggi mendapat penyakit itu," katanya dalam perutusan sempena Hari Tibi Sedunia.

Beliau meminta individu yang mempunyai satu daripada tanda-tanda atau mempunyai risiko tinggi menghidap penyakit itu supaya mendapatkan pemeriksaan kesihatan dengan segera bagi mencegah perebakan.

Beliau berkata, setiap individu yang mendapat rawatan harus mematuhi arahan rawatan dalam jangka masa sekurang-kurangnya enam hingga lapan bulan.

"Adalah amat merbahaya sekiranya pesakit tidak mengambil ubatan seperti yang diarahkan kerana ini akan mengakibatkan kuman Tibi kebal terhadap ubat," katanya.

Liow berkata, penyakit Tibi boleh membawa maut jika pesakit tidak mendapat rawatan yang sempurna manakala rawatan sempurna boleh menyembuhkan penyakit itu di samping dapat menjamin ia tidak menular kepada orang lain.

"Kerajaan memberi komitmen yang tinggi dalam usaha membanteras penyakit Tibi dengan memastikan rawatan penyakit itu di semua kemudahan kesihatan awam diberikan secara percuma," katanya.

Liow berkata, kuman Tibi merebak melalui udara apabila pesakit Tibi batuk dan WHO melaporkan terdapat 9 juta kes baru jenis berjangkit di seluruh dunia setiap tahun dan sekurang-kurangnya 4,700 kes kematian akibat Tibi dilaporkan setiap hari.

Tiada ulasan: