Selasa, 26 April 2011

Kes Teoh: DAP mahu SPRM pikul tanggungjawab penuh


KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus memikul tanggungjawab penuh berhubung kematian Teoh Beng Hock memandangkan tiada bukti menunjukkan adanya elemen rasuah terhadap bekas majikannya Ean Yong Hian Wah, kata penasihat DAP Lim Kit Siang hari ini.

Ahli Parlimen ini juga menegaskan, badan pencegah rasuah itu tidak lagi boleh menuding jari ke arah DAP kerana tiada motif bagi Teoh untuk membunuh diri selepas disoal siasat oleh SPRM semalaman di pejabatnya di Shah Alam pada 16 Julai 2009.

“Kesemua jari menghala ke arah SPRM sekarang,” kata Lim kepada The Malaysian Insider.

Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kes Teoh hari ini diberitahu bahawa SPRM telah gagal untuk mencari bukti menunjukkan Yong, Exco Kerajaan Negeri telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri dan oleh itu, pendakwa raya telah mengarahkan agar siasatan kes itu dihentikan.

“Penemuan siasatan menunjukkan tiada keterangan yang boleh mengaitkan YB Ean dengan (sebarang) salah laku di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” kata pemangku Penguasa Kanan SPRM Ahmad Shafik Abdul Rahman pada sesi inkuiri hari ini.

Lim menambah, kekurangan bukti menunjukkan bahawa siasatan yang dikendalikan bermotifkan politik dan dijalankan dengan niat jahat.

“Dari awal lagi SPRM cuba untuk melibatkan DAP,” kata beliau sambil berkata, ia bukan perkara yang sepatutnya dilakukan oleh sebuah agensi bebas.

“SPRM tidak seharusnya melakukan yang ini kerana ia satu lagi tamparan ke atas kredibiliti mereka,” kata wakil rakyat Ipoh Timur ini.

Terdahulu laporan media menyebut, suruhanjaya yang menyiasat kematian Teoh diberitahu ekoran kematian Teoh, tiada bukti dapat menunjukkan Yong, yang juga Adun Seri Kembangan terlibat dalam penyalahgunaan wang peruntukan kerajaan negeri Selangor.

Ahmad Shafik berkata keterangan untuk mensabitkan Yong melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 tidak dapat diperoleh daripada Teoh kerana mendiang meninggal dunia.

“Justeru itu, pihak SPRM mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya supaya siasatan terhadap kes ini dihentikan kerana tiada keterangan menunjukkan Ean (Yong Hian Wah) telah melakukan kesalahan itu,” katanya dipetik Bernama.

Beliau menyatakan demikian ketika disoal oleh pegawai pengendali Awang Armadajaya Awang Mahmud.

Teoh, 30, setiausaha politik Yong ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Ahmad Shafik turut mengesahkan empat dokumen yang dicetak daripada komputer riba Teoh sebelum ini menimbulkan keraguan telah disiasat dan hasilnya mendapati keempat-empat projek dalam empat dokumen itu telah disempurnakan dan tuntutan hanya dibuat selepas projek dilaksanakan.

Beliau berkata antara projek dilaksanakan termasuk “Malam Persembahan Kanak-kanak sempena persembahan Tang Lung dan majlis “Sokong, Simpati dan Solidariti” terhadap Exco Kanan Selangor iaitu Teresa Kok.

Ketika disoal Awang Amadajaya bagaimanakah keempat-empat dokumen ini boleh berada di dalam komputer riba mendiang Teoh, Ahmad Shafik berkata: “Melalui keterangan daripada seorang ahli perniagaan Lee Wye Wing, dokumen itu dihantar kepada Teoh melalui e-mel untuk dirujuk sebelum harga ditentukan oleh Ean.”

Ahmad Shafik, yang merupakan saksi ke-50 suruhanjaya itu, menjelaskan Lee hanya berurusan dengan Teoh dan tidak pernah berurusan terus dengan Yong dan jika program yang dilaksanakan mempunyai peruntukan, Teoh akan memberi lampu hijau kepada Lee.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan pada 26 Januari lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.

Tiada ulasan: