Aziz Muda |
KUALA LUMPUR- Isu akuan bersumpah blogger Raja Petra Kamarudin penuh putar belit yang ditimbulkan kembali oleh para pemimpin Umno BN, disifatkan oleh PAS sebagai isu murahan di tepi jalan yang tidak perlu dilayan. Untuk memahami isu itu, kesemua pihak perlu menyedari kedudukan Raja Petra itu sendiri yang hanya sebagai rakyat biasa, bukan pemimpin negara dan bukan juga pemimpin parti politik penting di tanah air. Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, oleh itu sebarang isu yang timbul berkait dengan Raja Petra, apatah lagi jika jelas berputar belit seperti berkaitan akuan bersumpahnya berhubung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak mempunyai sebarang makna jika dilayan oleh PAS. Menurut beliau, sebaliknya jika dilayan, ia hanya membuang masa dan tidak memberikan sebarang erti bagi mewarnai politik negara yang kini semakin menarik setelah diberikan nafas segar oleh Pakatan Rakyat. Katanya, jika dikaitkan dengan situasi sedang memandu kereta di tengah jalan, melayani isu-isu murahan di tepi jalan seperti itu hanya akan mengganggu pemanduan seseorang sehingga akan menyebabkab 'lari stereng', sekali gus akan merbahayakan individu itu sendiri. "Apatah lagi jika berkait pula dengan pentadbiran organisasi penting seperti PAS yang jika dilayan akan menyebabkan kita hanya membuang masa atau melakukan pekerjaan sia-sia sahaja," tegas beliau yang juga ahli Parlimen Marang ketika ditemui di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini. Sehubungan itu, beliau mengingatkan setiap pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS agar bijak menilai isu yang ditimbulkan oleh pihak lawan untuk diulas bagi membolehkan ia memberikan kesan baik bagi perjuangan parti. Kebijaksaan itu lebih diperlukan lagi apabila ia ditimbulkan sempena pilihanraya kerana jika tidak, isu-isu penting yang patut ditimbulkan terutama berkaitan dasar pasti akan tenggelam hanya dalam masa lima minit sahaja ditimbus isu remeh temeh seperti itu. Daripada melayan isu seperti itu, beliau lebih tertarik untuk mengulas isu yang mengatakan PAS berada dalam keadaan sakit kini, ekoran dakwaan kegagalannya menarik sokongan orang Melayu di Semenanjung dan di Sarawak seperti yang berlaku dalam PRN Sarawak Ke-10 pada 16 April lalu. "Ini jelas merupakan fakta yang diputarbelit. Sebenarnya bukan PAS yang sakit, tetapi orang Melayu itu sendiri yang sakit sehingga menyebabkan di dalam jiwanya tidak langsung mempunyai kesedaran tentang kewajipannya menyokong perjuangan Islam, sehingga mereka sanggup memberikan sokongan kepada parti sekular untuk memimpin mereka," katanya. Lebih menghairankan, apabila orang bukan Islam pula yang sedar dan faham mengenai kepentingan mereka menyokong PAS untuk membolehkan mereka turut berada di bawah pemerintahan Islam, sejajar dengan kelebihan parti Islam itu sendiri berbanding parti-parti lain. "Jadi ini jelas menunjukkan bukan PAS yang sakit, tetapi orang-orang Melayu terbabit itu sendiri yang sakit dan mereka perlu terus dibantu untuk diubati oleh kita supaya mereka juga turut sedar tentang kedudukan dan peranan mereka yang sebenar terhadap perjuangan Islam," ujarnya. Kegagalan orang Melayu memahami malah sesetengahnya mengenali PAS sebagai organisasi penting dalam gerakan Islam di tanah air, menurut beliau, sememangnya direncanakan sendiri oleh Umno BN sejak sekian lama memerintah negara, bagi kepentingan politik dan perut para pemimpin mereka sendiri. "Pada hal yang ditentang oleh mereka adalah perjuangan Islam. Mereka sendiri sebagai orang Islam tidak sepatutnya menentang perjuangan Islam, tetapi mereka sanggup berbuat demikian kerana di dalam hati mereka itu juga turut mempunyai penyakit yang perlu diubati," katanya kesal. Antara cara yang dilakukan oleh para pemimpin Umno BN bagi menyekat perkembangan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS, termasuklah dengan mengenakan sekatan yang ketat terhadap PAS untuk menyebarkan risalah perjuangan Islam kepada seluruh rakyat negara ini di segenap peringkat. Selain itu, mereka juga turut mengenakan pelbagai tekanan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya terus berada di bawah penguasaan mereka, bagi mengekang SPR dari melaksanakan peranannya dengan betul dan adil selaras dengan amalan demokrasi di negara ini. "Ini tentunya menuntut kita semua bangun membetulkan kepincangan yang ada untuk membolehkan kebangkitan rakyat turut berlaku di tanah air kita, bagi menukar kerajaan BN yang ada kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang pastinya jauh lebih baik dari segala sudut untuk perjuangan Islam dan seluruh rakyat Malaysia dalam pelbagai aspek," ujar beliau. Menyedari hakikat itu, beliau turut menjelaskan akan turut memfokuskan ucapan dasarnya pada muktamar agung PAS Jun ini ke arah rangsangan kepada jentera PAS di segenap peringkat agar berusaha lebih gigih, berbekalkan keikhlasan, bagi membolehkan PAS dan Pakatan Rakyat mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi. "Ikhlas itu amat penting. Kalau berusaha gigih sahaja tetapi tanpa keikhlasan tak guna. Dengan keikhlasan itulah yang akan membolehkan kita diberikan pertolongan oleh Allah dalam segenap segi. Jadi dengan keikhlasanlah PAS akan menang," tegas beliau. |
Selasa, 19 April 2011
Jangan layan isu murahan tepi jalan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan