Selasa, 26 April 2011

Imam Besar Masjidil Haram bawa Wahabi ke Malaysia, syaki pegawai Jakim


KUALA LUMPUR— Seorang pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengesyaki Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais, yang berada di Malaysia minggu lalu, cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform “kerajaan dengan kerajaan.”

Zamihan Mat Zin, yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu, Teras Institut Latihan Islam Malaysia berkata, lawatan kerja lima hari Sheikh Abdul Rahman yang berakhir Ahad lalu kemungkinan membawa metodologi yang bertentangan dengan amalan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi pegangan umat Islam di Malaysia.

Kata beliau, Sheikh Abdul Rahman berpegang kepada fahaman Wahabi dan cuba menyuntik amalan itu di kalangan umat Islam melalui seminar “Berpegang kepada al-Quran dan As-Sunah” bertemakan “Dan Berpegang Kamu Semuanya Kepada Tali (Agama) Allah dan Janganlah Kamu Bercerai-berai.”

Seminar dua hari berakhir Ahad lalu diadakan di Hotel Royale Chulan di sini dan dihadiri tokoh agama dari dalam dan luar negara.

“Imam ini (Sheikh Abdul Rahman) bawa amalan Wahabi dan menggunakan platform kerajaan dengan kerajaan untuk menyuntik fahaman Wahabi kepada umat Islam di Malaysia dan negara-negara Islam yang lain.

“Kalau beliau datang bercakap untuk soal umum tentang Islam, kepentingan Islam kita boleh terima, tapi ia jadi masalah kalah bercakap tentang Allah ada mata . . . ada tangan . . . ada kaki . . . itu semua kita tidak boleh terima,” kata Zamihan yang pernah menjadi fokus berhubung isu Wahabi tahun lalu.

Tahun lalu Zamihan telah menimbulkan kontroversi apabila dikatakan mengaitkan beberapa tokoh agama dan politik iaitu bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mufti Perlis Dr Juanda Jaya, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai kaitan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Zamihan bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa beliau pernah mengaitkan Presiden PAS, bekas menteri besar Perlis dan mufti Perlis dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Sebaliknya Zamihan mengakui ada “membangkitkan” nama Asri dalam taklimat itu berdasarkan tulisan beliau selama ini.

Tegas beliau, amalan dan ajaran yang dibawa Sheikh Abdul Rahman bukan metodologi Ahli Sunah Waljamaah dan ia bertentangan dengan amalan umat Islam.

“Sebab itu (ajaran Sheikh Abdul Rahman) bukan metodologi Ahli Sunah Waljamaah, sebaliknya ia merupakan metodologi sebahagian amalan al-Hanabilah al-Mujassimah dan metodologi ini bertentangan dengan amalan Ahli Sunah Waljamaah yang kita amalkan di Malaysia.

“Memandangkan metodologi ini dipopularkan ajaran Wahabi dan ulama bangkit menentangnya, maka metodologi ini tidak perlu disebarkan kepada umat Islam dalam apa jua pendekatan kerana ia bukan metodologi yang benar yang diwarisi dari Rasulullah,” katanya.

Kata Zamihan, beliau menentang keras tindakan Sheikh Abdul Rahman yang cuba mewujudkan suasana tidak senang di kalangan umat Islam dengan membawa fahaman yang bertentangan dengan amalan Ahli Sunah Waljamaah.

“Jika ia (amalan Wahabi) mahu dipraktikkan di Arab Saudi terpulanglah, tapi kita di Malaysia mengamalkan metodologi Ahli Sunah Waljamaah yang jelas iaitu berpegang dengan prinsip akidah yang dirintis dari Imam Abu al-Hasan al-Ash`ari bermazhab Shafie dan berpandukan metodologi tasawuf dari kalangan ulama sufi yang muktabar.

“Imam Besar Masjidil Haram ini juga pernah membuat (mencetuskan) kontroversi apabila mengemukakan pandangan bahawa orang Islam dilarang menziarai makam Nabi, malah saya ada bukti lain yang menunjukkan beliau cuba menyuntik fahaman Wahabi.

“Malah dalam seminar yang dihadiri beliau pada Sabtu dan Ahad lalu juga, hampir keseluruhan jurucakap dan tetamu yang hadir mengamalkan metodologi Wahabi, tapi gunakan nama lain daripada diketahui dan ini mengelirukan umat Islam,” katanya.

Justeru, kata beliau, pihak berkuasa terutamanya polis dan jabatan agama Islam harus menyiasat perkara tersebut agar tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam.

Selain itu, Zamihan juga mempersoalkan bagaimana penceramah-penceramah dari luar negara dibenarkan untuk bercakap soal agama tanpa permit.

“Kedatangan Imam Besar Masjidil Haram ini kalau untuk kegiatan umat Islam tiada masalah tapi kalau nak bawa metodologi ia tidak wajar . . . tindakan ini akan mengelirukan umat Islam dan wajar pihak berkuasa untuk menyiasat perkara ini.

“Kalau nak masuk Singapura pun kena ada permit tapi bila orang luar berucap pasal agama dan nak bawa metologi Wahabi tidak perlukan permitkah? Sheikh Abdul Rahman datang dengan tujuan untuk semai fahaman Wahabi dan ini tidak wajar,” katanya yang turut menjadi perhatian ekoran satu seminar di Singapura awal tahun lalu.

Pada Jumaat lalu Sheikh Abdul Rahman menggesa umat Islam berpegang teguh kepada al-Quran dan As-Sunah demi memastikan mereka kekal bersatu padu.

Beliau berkata, perpecahan di kalangan umat Islam akan berlaku sekiranya mereka tidak menjadikan kedua-dua perkara itu sebagai sebahagian amalan kehidupan seharian.

“Anda semua harus berpegang pada hadis Rasulullah mengenai pentingnya berpegang teguh dengan al-Quran dan As-Sunah, jika tidak inilah (perpecahan) jadinya kepada umat kita (Islam),” katanya dalam khutbah Jumaat yang diikuti oleh lebih 3,000 jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan.

Khutbah beliau bertajuk “Perpaduan Islam dan Cabaran Semasa” diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh Yang Dipertua Persatuan Bahasa Arab Malaysia, Datuk Mahamud Abdul.

1 ulasan:

Rahimie Ahmad berkata...

salam,

semoga Allah melindungi kita semua dari perosak2 agama seperti zamihan ini.