Khamis, 14 April 2011

Husam tolak pencalonan tanding jawatan presiden PAS

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Datuk Husam Musa hari ini secara rasmi mengumumkan tidak akan bertanding merebut jawatan presiden pada pemilihan Jun ini.

Dipetik Harakahdaily, jelas Husam, beliau akan memberikan sokongan penuh kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk terus menerajui parti Islam itu.

Justeru, beliau menolak sebarang pencalonan daripada mana-mana kawasan PAS untuk bertanding jawatan nombor satu parti sambil menegaskan, hanya akan bertanding bagi ahli jawatankuasa PAS pusat.

“Saya menyokong 100 peratus kepada kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi kerana bagi saya beliau adalah seorang yang berwibawa dan boleh menyatukan PAS.

“Jadi saya harap kawasan-kawasan lain tidak mencalonkan saya bagi jawatan presiden, saya tidak pernah berhasrat untuk bertanding jawatan setinggi itu apa lagi dipertembungkan dengan Datuk Seri Abdul Hadi,” katanya.

Bagaimanapun Husam mengucapkan terima kasih kepada PAS kawasan Bukit Bintang kerana telah mencalonkan beliau bagi jawatan itu.

“Mungkin PAS (kawasan) Bukit Bintang mempunyai sebab-sebab yang tertentu sehingga mencalonkan saya,” katanya.

Husam berkata jawatan ahli jawatankuasa PAS pusat adalah pilihan yang terbaik memandangkan beliau juga perlu memikul tanggungjawab untuk memastikan PAS terus memerintah Kelantan.

“Tugas utama saya ialah bagi memastikan Kelantan diuruskan dengan baik dan berjaya dalam pilihan raya umum ke-13 yang semakin hampir,” ujarnya lagi.

PAS kawasan Bukit Bintang telah mencalonkan Husam untuk bertanding jawatan presiden dan keputusan itu dibuat dalam mesyuarat agung kawasan itu Jumaat lalu.

Keputusan itu telah mengejutkan banyak pihak kerana PAS kawasan Bukit Bintang juga sebelum ini telah mencalonkan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi jawatan sama pada pemilihan parti dua tahun lalu namun ditolak.

Tiada ulasan: