Isnin, 11 April 2011

Halangan aktivis ke Sarawak bakal bentuk 2Malaysia?

Ong Vic Kee

Ahli parlimen Bukit Bendera-DAP Liew Chin Tong membidas kerajaan Barisan Nasional kerana menyalahgunakan kuasa autonomi yang diperuntukkan di bawah undang-undang imigresen Sarawak untuk menghalang mereka yang tidak disukai Ketua Menteri Taib Mahmud daripada menjejak langkahnya ke bumi kenyalang.

Liew Chin Tong (gambar kiri) menyeru agar lebih ramai aktivis sosial tampil untuk memantau pilihan raya negeri Sarawak, memperbanyakkan individu seperti "Wong Chin Huat". Aktivis BERSIH 2.0 Wong Chin Huat dihalang masuk ke Sarawak pada 8 April, menjadi warga negara kedua selepas Steven Ng yang dihalang masuk Sarawak selepas DUN Sarawak dibubarkan.

"Kuasa autonomi ini akhirnya mewujudkan 'Satu Malaysia: Dua Malaysia pada hakikatnya... selagi orang itu tidak disukai Ketua Menteri Taib Mahmud, mereka akan dihalang masuk," katanya dalam satu sidang media DAP di Sibu hari ini.

Liew Chin Tong mempersoalkan, "Mereka adalah pemerhati yang neutral, dan mereka dihalang masuk pada ketika ini. Apakah ia bermaksud, mereka (BN) telah bersedia untuk menipu? Apakah ia bermakna kerajaan negeri Sarawak bersedia untuk melakukan sesuatu yang tidak boleh didedahkan? Maka sesiapa juga dihalang untuk datang dan memantau."

Beliau menyeru agar peguam dan aktivis sosial tempatan atau Semenanjung tampil untuk melibatkan diri dalam pemantauan pilihan raya, untuk memastikan bahawa pilihan raya ini dijalankan dengan adil dan tanpa penyelewengan.

"Ciptalah lebih ramai 'Wong Chin Huat'! Seorang Wong Chin Huat (gambar kanan) dihalang di luar pintu Sarawak, tetapi lebih ramai profesional tampil dalam pilihan raya negeri ini, tidak semestinya terlibat untuk berkempen, tetapi menjadi pemantau yang neutral," seru Liew Chin Tong.

"Jiakalau pilihan raya dijalan dalam keadaan yang adil, apa kesudahannya? Seandainya pilihan raya adil, DAP sebagai parti politik yang terlibat dalam pilihan raya demokrasi akan menerima pilihan pengundi. Tetapi jikalau pilihan raya ini tidak adil, sarat dengan kes pembelian undi, maka semua rakyat yang mencintai Sarawak dan Malaysia harus tampil memantau pilihan raya ini!"

*Ong Vic Kee ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, disunting dan diterjemah dari teks asal.

Tiada ulasan: