Rabu, 27 April 2011

Guru agama perlu reformasi dalam pengajaran

Ismail Hashim


SHAH ALAM: Guru agama di semua peringkat perlu melakukan reformasi dalam pengajaran mereka bagi menjamin kemampuan rakyat terutamanya dalam pengamalan agama termasuk membaca Al-Quran.

Exco Agama Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali (gambar) berkata, semua guru di Selangor khususnya, perlu mengambil tindakan segera kerana golongan gurulah paling dekat dengan anggota masyarakat terutama pelajar.

Menurutnya, hasil tinjauan yang dibuat sendiri mendapati kebanyakan remaja dan belia tidak mampu untuk membaca Al-Quran dengan baik.

"Ini zaman reformasi, kita perlu berubah menjadi lebih baik, perlu bangun untuk lakukan islah dan tajdid yakni pembaharuan," tegasnya.

Dr Hasan berkata demikian ketika berucap menutup Multaqa Ketua Guru Kafa Seluruh Selangor yang diadakan di Dewan Utama Masjid Negeri Shah Alam, dekat sini, petang semalam.

Menurutnya, guru-guru Kafa seramai 6,236 bertanggungjawab untuk memastikan mereka dapat membangkitkan semangat beragama dalam kalangan masyarakat setempat.

Bercakap lebih lanjut, ibu bapa hari ini adalah produk pengajian sejak 40 tahun dahulu dan mereka terus bersikap seperti itulah sehingga kini.

"Hasilnya lihat apa yang sedang berlaku pada hari ini," tegasnya.

Ibu bapa termasuk jiran-jiran dan anggota masyarakat sudah tidak mampu dan membantu untuk mengajar sendiri pengajaran agama terhadap anak-anak mereka.

Kerana itu, tambah Dr Hasan, semua guru Kafa wajar mempunyai semangat Zeel atau tidak sabar-sabar lagi untuk bangkit melakukan perubahan ke arah kebaikan dalam masyarakat setempat.

Beliau menyarankan guru-guru agar kembali meneliti dan menghayati kitab Ihya Ulumiddin yang banyak memberikan panduan kepada guru dalam melaksanakan tugasan seharian mereka.

"Perjuangan tertinggi adalah untuk menegakkan hukum Al-Quran dan memerlukan hasil gerakerja semua guru.

"Warna baru perlu diberikan guru-guru Kafa dengan semangat dan kekuatan, bergerak ke arah perubahan.

"Masyarakat sudah bangkit sekarang ini, jika guru-guru tidak juga bangkit bererti anak-anak murid tidak akan bangkit-bangkit jawabnya," tegasnya.

Tiada ulasan: