KUALA LUMPUR — Kepimpinan Pro-Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) mempersoalkan tindakan pengurusan pusat pengajian tinggi itu menyingkirkan sembilan mahasiswa dari Kolej Kedua walaupun memenuhi merit minumum untuk terus tinggal pada semester akan datang.
Menurut jurucakapnya Siti Zulaikha Rusmadi, kesemua mahasiswa yang disingkirkan dari kolej kediaman Kolej Kedua adalah seramai 40 orang termasuk sembilan mahasiswa yang dibuang tanpa sebab munasabah.
Selain itu, beliau tidak menolak kemungkinan penyingkiran itu dibuat ekoran keputusan pemilihan kampus Februari lalu.
“Mungkin juga ada kena mengena dengan pemilihan kampus sebab ada mahasiswa yang dibuang ini adalah ahli Pro-Mahasiswa dan mempunyai jawatan.
“Semua mahasiswa yang disingkirkan adalah 40 orang tapi apa yang kita persoalkan adalah sembilan orang yang disingkirkan tanpa diberikan sebab-sebab yang munasabah sedangkan mereka memenuhi merit minimum 60 mata untuk terus menghuni kolej kediaman.
“Seramai 31 mahasiswa memang tak cukup merit tapi yang sembilan lagi cukup. Atas sebab apa mereka disingkirkan daripada tinggal di kolej kediaman?” kata Siti Zulaikha.
Tambah Siti Zulaikha, daripada sembilan mahasiswa terdapat ahli Pro-Mahasiswa yang turut disingkirkan tanpa memberikan sebarang sebab walaupun mempunyai merit yang cukup untuk terus kekal di kediaman kolej itu.
“Ada ahli Pro-Mahasiswa yang disingkirkan walaupun mempunyai merit 142 mata dan ada yang mendapat 100 mata.
“Tapi apa yang mengejutkan pengurusan UPM ada menawarkan kediaman dalam universiti kepada ahli Pro-Aspirasi yang hanya mendapat 52 mata,” katanya.
Tegas beliau, langkah UPM menyingkirkan sembilan mahasiswa itu tidak wajar kerana kediaman kolej itu masih boleh menampung jumlah penghuninya.
Justeru kata Siti Zulaikha, pihaknya menuntut penjelasan daripada pengurusan UPM supaya memberikan alasan berhubung tindakan yang dibuat itu.
“Kami mahukan penjelasan kenapa sembilan mahasiswa ini dibuang dari kolej kediaman... apa yang kita dapat, tiada sebab yang diberikan.
“Sebab itu kita tetap mahukan penjelasan itu,” katanya.
Kesemua mahasiswa itu tidak dibenarkan menetap di kolej kediaman UPM bermula semester depan.
Pada pilihan raya kampus UPM, kumpulan Pro-Aspirasi mempertahankan kemenangan apabila memperoleh kemenangan besar menewaskan Pro-Mahasiswa.
Pro-Aspirasi menang dengan majoriti besar apabila menguasai 32 kerusi termasuk lima kerusi umum berbanding Pro-Mahasiswa yang hanya mendapat 11 kerusi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan