Ahad, 30 Januari 2011

Wanita ditikam mati ditemui di tepi jalan Hulu Yam

SELANGOR KINI

GOMBAK – Seorang wanita ditemui mati dengan tikaman di belakang badannya di tepi jalan, di Km 5.4 Jalan Sungai Tua, kira-kira300 meter dari Simpang Sungai Kertas, Hulu Yam, dekat sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah berkata, mangsa yang berusia dalam lingkungan 20an, ditemui orang awam dalam keadaan berlumuran darah pada pukul 3.01 pagi dan dipercayai telah ditikam sebanyak dua kali.

“Mangsa berkulit cerah dan rambut hitam paras bahu serta memakai seluar panjang berwarna krim, baju lengan panjang berwarna cerah dan bertudung coklat,” katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa ditikam semasa berada dalam sebuah kenderaan dan dia kemudian ditolak keluar dari kenderaan itu.

“Dipercayai mangsa sempat berjalan beberapa meter sebelum mati berdasarkan tompokan darah di sepanjang jalan. Bagaimanapun, tiada kesan pergelutan (ditemui),” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat dan polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tiada ulasan: