Selasa, 4 Januari 2011

Selangor kaji pindaan kuat kuasa retrospektif selesai kemelut SUK

TERKINI

SHAH ALAM — Selangor sedang mempertimbangkan pindaan perlembagaan negeri — dengan penguatkuasaan secara retrospektif — bagi membolehkan ia dikuatkuasakan sebelum pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim (gambar) berkata hanya undang-undang jenayah sahaja yang tidak boleh dikuatkuasakan secara retrospektif.

Oleh itu kata pindaan itu akan berkuat kuasa mulai satu tarikh sebelum 1 Januari lalu.

“Ia boleh dikuatkuasakan sebelum 1 Januari 2010. Maka, ia akan ada kesan retrospektif,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Teng juga berkata, perlembagaan negeri semasa tiada kesan kuat kuasa secara retrospektif.

Tambah beliau, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim telah memaklumkan beliau semalam bahawa kerajaan negeri mahukan satu sidang khas Dewan Undangan Negeri diadakan sebelum persidangan Mac depan.

Khalid berkata kerajaan negeri akan mencadangkan sidang tergempar DUN untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor bagi mengembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar.

Teng berkata di bawah Peraturan-peraturan Tetap 10(3) Dewan Undangan Negeri Selangor jika sidang DUN sedang ditangguhkan, Menteri Besar boleh mengemukakan kepada Speaker bagi kepentingan awam untuk mengadakan mesyuarat lebih awal.

Speaker perlu mengeluarkan pemberitahuan mengenai perkara itu dan dewan hendaklah bermesyuarat pada masa yang dinyatakan dalam pemberitahuan itu, katanya.

Kemudian, Teng memberitahu The Malaysian Insider bahawa sidang yang dirancang itu tidak memerlukan perkenan Sultan Selangor.

Beliau juga berkata sidang DUN yang dicadangkan oleh Khalid bukan sidang tergempar tetapi sambungan daripada sidang DUN yang ditangguhkan pada 15 November lepas.

“Ini lanjutan daripada persidangan lalu, yang dibolehkan di bawah Peraturan Tetap Mesyuarat,” katanya.

“Ini bukan mesyuarat baru. Jadi, ia tidak perlu dipanggil oleh Sultan,” kata beliau.

Teng merujuk kepada Seksyen 10(3) Peraturan Tetap Mesyuarat Dewan Undangan Negeri.

Malah kata beliau, sidang khas boleh dipanggil dalam tempoh 24 jam.

Hari ini, Teng juga berkata Khusrin boleh dibenar menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri.

“Tiada peruntukan yang boleh menghalang beliau daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri,” kata Teng.

Teng juga berkata Khalid boleh memujuk barisan pembangkang agar menyokong beliau mendapatkan majoriti dua pertiga, yang diperlukan untuk meminda perlembagaan.

“Kita tidak boleh mengandaikan bahawa tiada majoriti dua pertiga disebabkan Pakatan Rakyat hanya ada 35 kerusi,” kata Teng.

“Mana tahu, Khalid kemungkinan memujuk beberapa anggota beberapa wakil rakyat pembangkang menyokong beliau,” katanya.

Katanya, urusan perkara mesyuarat pada hari itu hendaklah ditetapkan oleh Menteri Besar dan pemberitahuan mengenainya hendaklah dipekelilingkan tidak lewat dari masa mesyuarat itu.

Ketika ditanya sama ada kontroversi isu pelantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru dianggap berkepentingan awam sehingga sidang DUN perlu diadakan, Teng berkata: “Sehingga kini, saya tidak tahu apa yang akan dibentangkan.”

“Jadi saya tidak tahu representasi mengenai apa yang akan dikemukakan oleh Menteri Besar,” katanya.

Oleh yang demikian Teng berkata beliau tidak boleh memberikan sebarang kenyataan sama ada sidang yang bakal diadakan itu menyentuh pelantikan Khusrin atau mengenai isu-isu lain.

Khusrin, 54, menggantikan Datuk Ramli Mahmud, 56, yang menamatkan perkhidmatan pada 31 Disember lepas manakala tempat Khusrin sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor diambil alih oleh Pegawai Daerah Sabak Bernam Marzuki Hussin, 56, berkuat kuasa 1 Januari.

Bagaimanapun Khalid menolak pelantikan itu dan mendakwa Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah membelakangkan Kerajaan Negeri dalam proses pemilihan calon Setiausaha Kerjaan berdasarkan kredibiliti, kemampuan dan pengalaman.

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi. Barisan Nasional menguasai 21 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (14), DAP (13), dan PAS (lapan).

Jumlah bagi majoriti dua pertiga ialah 38.

Mengenai pindaan undang-undang, Teng berkata cadangan pindaan undang-undang perlu digazetkan terlebih dahulu selama 14 hari sebelum dibentangkan di dalam Dewan.

Bagi usul undi tidak percaya pula, katanya ia perlu dikemukakan 14 hari sebelum dibentangkan dan lazimnya usul itu dibawa oleh anggota DUN terhadap anggota DUN lain yang didakwa melakukan salah laku.

Mengenai kemungkinan usul undi tidak percaya akan dikemukakan terhadap Khusrin yang merupakan anggota ex-officio dewan, Teng berkata beliau tidak boleh mengulas lanjut kerana belum menerima representasi daripada Menteri Besar sama ada ingin membawa usul atau pindaan undang-undang atau kedua-duanya sekali dalam sidang dewan yang dicadangkan oleh Khalid itu.

Tiada ulasan: